Pages

Tuesday, January 5, 2010

Periksa lebih ketat penumpang dari 14 negara

WASHINGTON: Para penumpang dari Nigeria, Yaman, Pakistan, Afghanistan, Arab Saudi dan sembilan negara lain dikehendaki menjalani pemeriksaan ketat, termasuk pemeriksaan seluruh tubuh dan imbasan canggih, sebelum dibenarkan menaiki pesawat penumpang menuju ke Amerika Syarikat, kata Pentadbiran Keselamatan Pengangkutan (TSA) kelmarin.

Peraturan baru yang berkuat kuasa semalam diperkenalkan menyusuli percubaan yang gagal oleh seorang lelaki Nigeria, Umar Farouk Abdulmutallab, hendak meletupkan pesawat Northwest Airlines pada Hari Krismas.

TSA mengumumkan prosedur 'pemeriksaan dipertingkat' dan berkata mulai semalam semua penumpang pesawat menuju ke Amerika boleh dikenakan pemeriksaan secara rambang.

Lapangan terbang juga diarah supaya meningkatkan pemeriksaan ke atas penumpang yang berkelakuan mencurigakan.

TSA berkata teknik pemeriksaan termasuk pemeriksaan seluruh badan, menggeledah beg bimbit, imbasan seluruh tubuh dan teknologi mengesan bahan letupan.

Para penumpang yang datang atau singgah di negara yang disenarai sebagai 'negara penaja pengganasan' - Cuba, Iran, Sudan dan Syria - juga Afghanistan, Algeria, Iraq, Lebanon, Libya, Nigeria, Pakistan, Arab Saudi, Somalia dan Yaman akan menghadapi pemeriksaan yang dipertingkat, kata seorang pegawai pentadbiran Presiden Barack Obama.

Hampir kesemua negara itu negara Islam.

Kelmarin, penerbangan keluar dari sebuah terminal di Lapangan Terbang Antarabangsa Newark dihentikan buat seketika selepas berlaku pencerobohan keselamatan.

Langkah itu diambil selepas seorang lelaki dilihat berjalan antara kawasan 'selamat' dan kawasan awam, kata para pegawai.

Pemeriksaan lebih ketat ke atas penumpang pesawat kini turut dilakukan beberapa negara Eropah.

Para pegawai Belanda berkata mereka merancang menggunakan alat pengimbas seluruh tubuh dalam tempoh tiga minggu.

Perdana Menteri Britain, Encik Gordon Brown, kelmarin berkata lapangan terbang Britain akan memperkenal peralatan serupa itu secara bertahap.

'Kami sedar bahawa ada senjata bentuk baru yang digunakan oleh Al-Qaeda. Jadi kami harus bertindak sewajarnya,' tegas Encik Brown.

Sementara itu di Islamabad, seorang jurucakap Pakistan International Airlines semalam berkata mereka telah meningkatkan pemeriksaan ke atas penumpang menuju Amerika.

Encik Sultan Hasan berkata semua penumpang dikehendaki menjalani pemeriksaan khas, termasuk pemeriksaan seluruh tubuh, dan mereka dilarang membawa sebarang cecair masuk ke dalam pesawat. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini