KUALA LUMPUR: Awas jika anda lelaki yang ghairah mengambil ubat untuk menguatkan tenaga batin.
Ini kerana pakar perubatan mendapati ubat sedemikian boleh memberi kesan sampingan yang menghakis ciri kejantanan - buah dada mereka boleh membesar seperti wanita.
Banyak ubat penguat tenaga batin lelaki yang terdapat di pasaran sekarang, baik jenis krim mahupun herba dan makanan kesihatan tambahan, didapati mengandungi steroid dan perangsang hormon wanita yang dinamakan estrogenik.
Pakar Sakit Tuan, Dr Ismail Thamby, berkata steroid dan estrogenik dikenal pasti sebagai antara punca utama yang menyebabkan lelaki mengalami masalah gynecomastia, iaitu tumbesaran buah dada.
Beliau berkata, selain ubat penguat tenaga batin lelaki, steroid dan estrogenik menjadi ramuan utama dalam ubat penyakit gastrik dan penenang minda.
'Dan ini bermakna lelaki yang mengambil ubat gastrik dan penenang minda tanpa kawalan atau tidak mengikut panduan doktor juga berisiko mengalami gynecomastia, iaitu buah dada mereka membesar.
'Jika pun saiznya tidak sampai ke tahap sama besar dengan buah dada wanita, yang pasti ia lebih besar berbanding lelaki normal,' katanya.
Dr Ismail berkata, pemerhatiannya mendapati jumlah lelaki yang mengalami gynecomastia di Malaysia kian meningkat. Sebahagian besar mereka tidak tahu ia berlaku disebabkan kesan sampingan ubat penguat tenaga batin, gastrik atau penenang minda.
Menurutnya, biasanya pada peringkat awal penghidap gynecomastia tidak mengetahui atau menyedari mereka menghidap penyakit itu.
Namun mereka akan berasa ada sesuatu tidak kena apabila buah dada mereka berasa sakit dan ada ketulan isi di bawah puting.
'Ketulan keras menunjukkan bahawa seseorang itu menghidap barah payu dara, tetapi bagi gynecomastia ketulannya lembut dan ia sakit apabila disentuh. Jika ada tanda-tanda awal ini, segeralah jalani pemeriksaan doktor,' katanya.
Bagaimanapun, Dr Ismail berkata masalah buah dada besar di kalangan lelaki turut berkait rapat dengan obesiti, iaitu berat badan berlebihan.
Namun, ini tidak bermakna perkara itu normal kerana nisbah menunjukkan daripada setiap empat lelaki obes, seorang akan menghidap gynecomastia. -- Metro Ahad
Monday, December 7, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment