Pages

Monday, December 14, 2009

Muslim Swiss adakan bantahan aman

BANTAHAN AMAN: Para penduduk Islam Switzerland berhimpun di depan bangunan Parlimen di Bern dan menggesa pemerintah agar membatalkan larangan membina menara masjid kelmarin. -- Foto AFP

Pemerintah didesak batal larangan bina menara masjid

BERN (Switzerland): Sekitar 700 penduduk Islam Switzerland telah mengadakan bantahan aman di sini kelmarin bagi mendesak pemerintah membatalkan larangan pembinaan menara masjid.

Mereka menyifatkan larangan itu sebagai sebahagian daripada kempen membenci agama Islam.

Bantahan tersebut diadakan selang dua minggu selepas satu pungutan suara menyokong larangan membina menara masjid di Switzerland.

Mereka membawa sepanduk yang tertulis: 'Kami Muslim, bukan Hitler.'

Penganjur bantahan kelmarin, Encik Nicolas Blancho, dari Majlis Agama Islam Switzerland, berkata beliau tidak percaya bahawa pengundi negara itu bencikan Islam.

Mereka mungkin telah ditakut-takutkan oleh propaganda yang disebarkan oleh parti-parti sayap kanan.

Encik Blancho berkata masyarakat Islam di Switzerland tidak berniat melaksanakan undang-undang Syariah di negara itu.

Dalam pungutan suara pada 30 November lalu, 57.5 peratus pengundi menyokong larangan membina menara masjid sementara 52.2 peratus menolaknya.

Menyusuli keputusan itu, pemerintah Switzerland cuba meyakinkan 400,000 penduduk Islam setempat bahawa pungutan suara tersebut bukan bermakna masyarakat, agama atau budaya Islam kini ditolak oleh masyarakat setempat.

Switzerland mempunyai sekitar 200 masjid dengan hanya empat daripadanya mempunyai menara.

Sebelum ini Muktamar Islam (OIC) telah menggesa pihak berkuasa Switzerland agar membatalkan pungutan suara itu kerana ia boleh mencetuskan langkah serupa di seluruh Eropah.

Para duta 56 negara anggota OIC mengemukakan permintaan itu kepada duta besar Switzerland ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Geneva, Encik Dante Martinelli, Khamis lalu.

Langkah melarang menara masjid di Switzerland turut dikecam oleh PBB, negara-negara Islam, negara Eropah dan Vatican.

Pesuruhjaya Tinggi PBB bagi Hak Asasi, Encik Navi Pillay, menyifatkan larangan itu sebagai 'bersifat diskriminasi', memecah belah dan langkah amat malang yang pernah diambil Switzerland.

'Saya mengutuk hasutan antipendatang rakyat asing yang menjadi ciri kempen politik di kebanyakan negara, termasuk Switzerland, yang menjadi punca keputusan serupa itu,' katanya. -- AFP, AP, Reuters.


No comments:

Posting Terkini