MANILA: Anggota kumpulan militan memecahkan tembok penjara di wilayah selatan Filipina dan membebaskan 31 banduan dalam satu serangan tengah malam kelmarin.
Seorang pengawal dan seorang anggota militan terbunuh dalam insiden tembak-menembak yang menyusul.
Naib Gabenor Pulau Basilan, Encik Al- Rasheed Sakalahul, berkata sekitar 70 lelaki bersenjata telah memecahkan mangga penjara selepas menggunakan tukul besi untuk memecahkan tembok penjara di bandar Isabela.
Antara banduan yang dapat meloloskan diri ialah dua pemimpin Barisan Pembebasan Islam Moro (MILF) yang ditahan kerana terlibat dalam insiden pemenggalan kepala 10 askar di Basilan pada 2007.
'Kedua-dua pemimpin pemberontak ini ialah banduan berisiko tinggi. Kami telah membentuk satu pasukan, bersama pihak tentera, untuk memburu mereka. Kami akan memulakan siasatan dalaman bagi memastikan siapa yang bertanggungjawab atas tahap kawalan yang lemah di penjara ini,' kata ketua polis daerah, Superintenden Abubakar Tulawie.
Hanya empat daripada 16 pengawal yang bertugas semasa serangan itu berlaku.
Kumpulan militan dan banduan yang lolos dilaporkan menaiki beberapa kenderaan menuju ke kawasan pergunungan.
Selain pemimpin MILF, antara banduan yang lolos adalah anggota kumpulan pengganas Abu Sayyaf, yang mempunyai kaitan dengan Al-Qaeda.
MILF, yang inginkan autonomi lebih luas di pulau selatan Mindanao, sedang mengadakan rundingan damai dengan pemerintah.
Jurucakap MILF tidak dapat dihubungi bagi mengesahkan sama ada mereka turut terlibat dalam serangan kelmarin.
Pada 2004, 53 daripada lebih 130 banduan dapat meloloskan diri menggunakan senjata yang berjaya diseludup masuk ke sebuah penjara di Pulau Basilan.
Seramai 19 anggota Abu Sayyaf merupakan antara banduan yang dapat melarikan diri.
Kejadian kelmarin berlaku selang beberapa jam Presiden Gloria Arroyo membatalkan perintah darurat di wilayah Maguindanao yang berdekatan.
Perintah darurat itu diisytiharkan minggu lalu bagi membolehkan askar menahan anggota militia puak Ampatuan yang bertanggungjawab atas pembunuhan 57 orang pada 23 November lalu. -- AFP, AP, Reuters.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment