DIS 13 — Ingatan demi ingatan telah saya ajukan akan bahayanya golongan ultra kiasu, tetapi kita terus memberi muka. Sedangkan mereka tidak pernah serik dan mengambil pengajaran.
Sejak dahulu lagi ultra kiasu ini membangkitkan isu-isu sensitif dan menentang apa juga perkara yang menyebelahi bangsa Melayu dan Islam di bumi Melayu ini walaupun hak-hak ini dijamin dalam perlembagaan. Pada mereka, semua rakyat Malaysia mesti berpegang kepada formula sama rata dan sama rasa atau fair and square atau Malaysian Malaysia.
Mereka tidak mahu langsung melihat perkara-perkara yang berkaitan dengan kelebihan Melayu Islam seperti mahukan bahasa Melayu ditukar kepada bahasa Malaysia, negara Islam kepada negara sekular, ketuanan Melayu kepada ketuanan rakyat dan sebagainya.
Penggunaan istilah ketuanan Melayu tidak langsung menggambarkan hubungan antara ‘tuan’ dengan ‘hamba’ sebagaimana yang didakwa oleh kumpulan ultra kiasu. Jika orang bukan Melayu itu hamba, masakan penguasaan ekonomi bukan Melayu begitu jauh meninggalkan orang Melayu Islam.
Lihat sahaja senarai 10 jutawan terkaya di negara ini. Siapakah mereka? Jika ada ketuanan Melayu sudah pasti akan ada beberapa muka-muka Melayu. Jika orang Melayu itu tuan, sudah tentu mereka akan menyekat ‘hamba-hamba’ ini untuk berjaya, tetapi adakah ia sebenarnya berlaku? Inilah bahaya bila ada sifat kiasu yang terlalu ultra? Kini mereka begitu berani mempertikaikan peruntukan atau dana-dana yang disediakan untuk pembangunan Islam oleh kerajaan termasuk pembinaan dan pembiayaan masjid, yang berkaitan dengan ketuanan Melayu dan Islam. Malah dana zakat turut mahu diambil.
Sebenarnya isu ketuanan Melayu dan Islam dibangkitkan semula untuk menagih simpati dan sentimen orang bukan Melayu agar tidak lupa menyokong mereka. Mereka mahu pastikan agar penyokong-penyokong parti ultra kiasu ini sentiasa berjaga-jaga dan dikejutkan agar tidak leka. Sama juga dengan apa yang dilakukan oleh kerajaan Singapura yang begitu agresif dengan kempen-kempen dan ingatan kepada rakyat mereka agar sentiasa berhati-hati dengan musuh yang sebenar iaitu negara-negara di sekelilingnya seperti Malaysia dan Indonesia. Parti ultra kiasu faham benar akan taktik ini kerana mereka adalah daripada kumpulan yang sama di sana.
Dapatan kajian saya menunjukkan bahawa, golongan ultra kiasu ini memang telah berjaya menanamkan pemikiran bangsanya agar menolak ketuanan Melayu dan Islam secara total. Ketuanan Melayu sengaja diperbesar-besarkan dengan dikaitkan hubungan antara tuan dan hamba.
Sebagai pengkaji politik, saya amat yakin golongan ultra kiasu ini amat faham maksud ketuanan Melayu tersebut bukanlah seperti yang digembar-gemburkan. Saya bukanlah menyokong ketuanan Melayu, tetapi saya faham sangat akan maksud ketuanan Melayu secara tersurat dan tersirat.
Saya celik sejarah dan tidak memutar-belitkannya demi mencapai cita-cita politik rakus. Saya begitu bersyukur dilahirkan di bumi bertuah ini, begitu juga dengan nenek moyang saya.
Istilah
Ketuanan Melayu hanya satu istilah untuk menunjukkan bahawa orang Melayu adalah bangsa asal negara ini, selain orang asli. Atas kefahaman ini, maka saya dapat menerima istilah ini tanpa prejudis, apatah lagi untuk mempertikaikan bahawa orang Melayu juga adalah pendatang, berasal dariYunan dan Indonesia. Inilah hujah-hujah yang selalu digunakan oleh kumpulan ultra kiasu ini, termasuk segelintir mereka yang berada dalam komponen BN seperti MCA dan Gerakan. Sebenarnya pengikut ultra kiasu ini adalah ramai, mereka tidak bersendirian. Bekas Presiden Gerakan adalah antaranya yang begitu lantang mengkritik ketuanan Melayu ini. Apakah mungkin kita tidak perasan dengan taktik mereka? Pusat mereka berada di Pulau, jangan kita lupa, cukuplah terlepas dua pulau.
Persoalan seterusnya, apakah orang Cina atau India tidak mempunyai semangat ketuanan Cina atau ketuanan India? Janganlah tipu, ia cuma tidak dilaungkan sahaja. Ketuanan mereka itu sudah jelas terpancar ketika mereka mempertahankan hak-hak mereka secara ekstrim yang telah diperolehi.
Ketuanan inilah yang menyatukan mereka.
Apakah tuntutan dan desakan yang dikemukakan selama ini tidak melambangkan ketuanan bangsa? Sekurang-kurangnya orang Melayu yang melaungkan ketuanan Melayu itu berterus-terang, membuka ruang kepada pandangan dan kritikan.
Berbeza dengan ultra kiasu, lantang mengkritik, tapi bekerja senyap-senyap, sedar-sedar dah jadi. Mula-mula ditutup-tutup, bila tiba-tiba dibuka, masya-Allah, besarnya patung yang didirikan. Licik sungguh strategi mereka. Umat Islam bila lagi? Takkan asyik berterus-terang. Jika kerja berjalan boleh tahan juga, tetapi cakap banyak, kerja tidak berjalan.
Lihat strategi mereka, ketuanan Melayu dipertikaikan diikuti selepas itu dengan mempersoalkan penggunaan dana kerajaan terhadap perkembangan syiar Islam seperti pembinaan masjid. Persoalan saya, apakah kerajaan negeri dan persekutuan tidak membantu pembinaan rumah ibadat bukan Islam? Jangan asyik menyatakan orang, tanpa mensyukuri toleransi yang berlaku. Inilah belang ultra kiasu yang sebenar, pepat di luar rencong di dalam.
Lihatlah bagaimana bersatunya mereka ketika pembukaan rasmi bangunan Kek Lok Si dan patung Kuan Yin yang begitu besar di negeri ultra kiasu baru-baru ini. Ini tidak termasuk pandangan di Batu Caves. Wajarkah ia dibina dalam sebuah negara Islam sehingga menenggelamkan kedudukan bangsa dan agama Islam sebagai bangsa majoriti dan agama persekutuan? Adakah kebebasan ini diberikan kepada umat Islam di negeri China dan India mahupun Switzerland?
Alangkah sedihnya melihat masjid babri yang dimusnah dan diganti dengan kuil Hindu. Tidak ramai orang Islam yang membantah. Inilah sifat yang amat saya puji, walaupun dalam hati amat berat untuk menerima. Sifat sebegini jarang dapat dilihat pada orang lain. Banyak yang telah dapat, tetapi tidak pernah puas itulah ultra. Strategi mereka sekarang, tuntut semaksima mungkin, tak dapat banyak, kerajaan bagi sedikit. Sedikit itu kemenangan besar.
Kalau tidak percaya, tanyalah ketua-ketua parti komponen BN. Adakah selama ini mereka tidak dapat apa yang dituntut. Adakah rumah ibadat mereka tidak dibantu kerajaan? Jangan tanya kepada parti ultra kiasu kerana mereka tidak pernah puas selagi kuasa tidak berada di tangan mereka sepenuhnya.
Mereka bercita-cita mahu menjadi perdana menteri atau timbalan perdana menteri. Pernahkah kita bertanya kepada orang Melayu Islam, sakitkah hati mereka melihat patung-patung yang begitu besar dan tinggi, yang terang-terang bercanggah dengan fitrah agamanya atau setiap kali lalu di tempat-tempat tersebut? Kita tidak pernah bertanya bukan? Kita hanya marah dalam hati kerana kita mahu menjaga hati orang lain dan hak bukan Islam.
Pernahkah orang Islam melarang pembinaan patung sebesar itu dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama rasmi. Kalau adapun sedikit sangat. Apakah hak bukan Islam dinafikan walaupun ketuanan Melayu dilaungkan?
Apakah Lee Kuan Yew tidak menegakkan ketuanan Cina di Singapura?
Terangkatkah ketuanan Melayu di negeri Melayu Singapura? Orang Melayu tidak mendapat tempat di sana berbanding orang India yang lebih sedikit bilangannya. Kalau dulu Yusuf Ishak boleh menjadi presiden, selepas beliau, nama Melayu sudah tidak muncul lagi. Bila orang Melayu yang mengkritik ketuanan Cina di Singapura, mereka akan dibuang jauh-jauh. Pernahkah kerajaan hari ini membuang kumpulan ultra kiasu ke luar Negara walaupun ia amat lantang mengkritik orang Melayu, Islam dan raja-raja Melayu? Saya fikir orang Melayu lebih mempercayai bukan Melayu daripada bukan Melayu mempercayai Melayu.
Orang Melayu (Islam) tidak pernah campurtangan dalam urusan orang bukan Islam, tetapi kenapa dan mengatakan orang bukan Islam begitu kurang ajar mencampuri setiap perkara sesuatu yang berkaitan dengan agama Islam?
Fikirkanlah isu-isu seperti pemelukan agama Islam, murtad, kedudukan mahkamah syariah, kedudukan Islam dan keistimewaannya dalam perlembagaan dan sebagainya.
Toleransi
Toleransi ini tidak pernah dihargai oleh kumpulan ultra kiasu ini. Tidak pernah puas dan bersyukur. Bila kita tanya toleransi tidak pernah berlaku di negara lain, kenapa tidak menghargai? Maka mereka menjawab, inilah keunikan yang perlu ditonjolkan di Malaysia. Licik juga strategik dan taktik mereka, bila kena pada kita, mereka kata inilah keunikan Malaysia dan semangat 1Malaysia, tetapi bila kena pada mereka, maka jawapannya tidak adil, bukan Melayu dipinggirkan dan didiskriminasikan dan
berbagai-bagai tohmahan lagi. Selain daripada kumpulan ultra kiasu ini, mungkin kita boleh melihat pakatan jahat mereka dengan majlis peguam dan persatuan-persatuan agama-agama bukan Islam. Adalah amat tidak logic apabila melihat bilangan rumah ibadat orang bukan Islam yang hanya berjumlah 45 peratus, melebihi berkali ganda bilangan masjid dan surau di dalam sebuah negara Islam yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan, yang bilangannya melebihi 55 peratus. — Mingguan Malaysia
Sunday, December 13, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment