Pages

Sunday, December 13, 2009

Apakah Pas akan terpedaya?

DIS 13 — Langkah menubuhkan sebuah pakatan dan berjuang dengan satu nama serta lambang mungkin sudah lama diimpikan oleh gabungan parti pembangkang yang dianggotai oleh Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas.

Matlamatnya ialah supaya kononnya rakyat akan mempunyai pilihan selain Barisan Nasional (BN). Tetapi persoalannya apakah mungkin tiga buat parti yang mempunyai tiga matlamat yang berbeza mampu mewujudkan satu piagam perjuangan?

Inilah cita-cita dan matlamat PKR, DAP dan Pas apabila mereka dijadualkan mengadakan konvensyen pakatan pembangkang pada 19 Disember ini.

Kalaulah konvensyen itu yang dijangka diadakan di Shah Alam tersebut, mencapai persetujuan menubuhkan satu parti siapa yang akan untung dan siapakah yang akan rugi? Atau lebih lagi siapakah yang hanya akan menjadi pak turut dan siapa pula yang akan menjadi ‘taiko’ (ketua) sepenuhnya?

Menyentuh perkara ini, penulis diberitahu sudah ada kebimbangan ketara di kalangan sebahagian pemimpin dan ahli Pas mengenai arah tuju perjuangan parti itu apabila penubuhan satu parti di kalangan pembangkang menjadi kenyataan.

Kebimbangan itu seperti mana kata seorang pemimpin muda Pas adalah berkisar kepada persoalan apakah ia menguntungkan parti itu atau Pas hanya akan menjadi mangsa agenda politik PKR dan DAP.

Hujah ini berasaskan kepada ada kelompok di dalam Pas terutamanya di kalangan pemimpinnya sendiri yang khuatir bahawa agenda mewujudkan satu parti itu hanyalah usaha yang akhirnya akan merugikan Pas.

‘‘Perkara paling kita bimbang ialah perjuangan Islam Pas dan adakah suara Pas akan didengari lagi? Ia kerana apabila Pas bergabung dalam satu parti maka sudah tentulah ia harus mengikut apa sahaja yang diputuskan berdasarkan kepada semangat satu parti.

“Ertinya Pas tidak boleh mempertegaskan mengenai perjuangan Islamnya dan membela nasib orang Melayu. Lebih daripada itu sehebat manapun pengaruh Pas, kami tidak boleh tawar menawar bagi pembahagian kerusi,’’ katanya ketika dihubungi.

Inilah antara perkara penting yang harus difikirkan oleh pemimpin dan perwakilan Pas yang akan mengikuti konvensyen berkenaan.

Mereka tidak harus tenggelam dalam keghairahan ‘semangat 1 parti’ yang akhirnya menyebabkan Pas mengalami kerugian politik di belakang hari.

Mungkin bagi merealisasikan matlamat itu pemimpin PKR dan DAP boleh menjanjikan apa sahaja yang baik-baik untuk Pas tetapi persoalannya adakah ia ditunaikan?

Membantah

Bagaimana pula jika PKR menuntut kerusi di kawasan yang menjadi kubu Pas kerana ia dianggap selamat, adakah ketika itu Pas mampu membantah sedangkan mereka terikat dengan ‘semangat 1 parti’.

Politik tetap politik, ia mempunyai seribu satu seni bagi memungkinkan segala terjadi. Begitulah juga nasib Pas, apabila sudah termeterai perjanjian dalam satu parti maka semangat 1 parti itu harus dituruti, tiadalah cadangan, tiada lagi bantahan.

PKR dan DAP akan mendominasi sepenuhnya pakatan pembangkang manakala Pas seperti biasa akan terus menjadi ‘pak turut’. Apa yang diperkatakan ini bukanlah andaian kosong tetapi lihat apa yang berlaku di Perak ketika Pas yang menjadi Menteri Besar dan di Selangor, Pas berada dalam barisan exco.

Suara Pas seolah-olah tidak dihargai oleh PKR dan DAP. Apa sahaja cadangan Pas bagi sekurang-kurangnya menyelitkan semangat perjuangan parti itu dipinggirkan begitu sahaja.

Mungkin ada di kalangan pemimpin Pas terutamanya mereka yang mempunyai hubungan rapat dengan PKR akan mendakwa semua ini adalah usaha bagi memecah belahkan parti pembangkang.

Itulah adalah hak mereka untuk membuat penilaian tetapi dalam masa yang sama pemimpin Pas yang lain dan penyokongnya berhak diberi ruang untuk berfikir dengan semasak-masaknya soal bergabung dalam satu parti ini.

Mereka harus mengkaji, apakah kerana semata-mata mahu menumbangkan BN, maka matlamat perjuangan parti harus dikorbankan. Bekerjasama dalam satu pakatan seperti mana sekarang bukanlah satu kesalahan tetapi jangan sampai ia mempunyai perjanjian rasmi yang tidak boleh mendatangkan faedah kepada Pas.

Hakikatnya Pas bukanlah parti yang lemah, malah ia mempunyai kekuatan dan penyokong sendiri. Berdasarkan kekuatan itulah Pas menjadi parti yang unggul sehingga mampu memerintah Kedah dan Kelantan sekarang dan suatu ketika di Terengganu. Justeru kenapa perlu pemimpin-pemimpin Pas mahu mengambil langkah yang kemudian harinya boleh menyebabkan parti itu ibarat melukut di tepi gantang sahaja.

Walaupun Pas selama ini bekerjasama dengan DAP dan PKR tetapi Pas tidak bergantung kepada kekuatan kedua-dua parti itu, malah Pas mampu berdikari. Pengaruh Pas adalah jauh lebih baik berbanding kedua-dua parti itu terutamanya kalau hendak dibandingkan dengan PKR.

Mungkin DAP mempunyai penyokong sendiri di kalangan orang Cina tetapi bagaimana dengan PKR. Selama ini sebahagian besar kerusi yang mereka menangi bukan sahaja di kawasan yang suatu ketika ditandingi oleh Pas, malah ada juga kawasan yang diserahkan oleh Pas atas dasar persahabatan.

Kalau hendak bergantung kepada kekuatan PKR semata-mata parti itu sama sekali tidak mempunyai pengaruh apatah lagi kekuatan. Kemenangan mereka di kawasan-kawasan bukan Melayu bukan kerana penerimaan rakyat tetapi pada tahun 2008 mereka bernasib baik kerana protes rakyat terhadap kerajaan BN ketika itu.

Pemimpin-pemimpin PKR amat menyedari keadaan ini, atas sebab itulah demi survival politik parti itu, mereka harus memastikan ikatan dengan Pas terutamanya ‘dikunci’ melalui pelaksanaan satu parti.

Melalui cara ini, PKR dan DAP boleh menggunakan segala kelebihan yang ada pada Pas bagi mencapai cita-cita politik mereka terutamanya ketika musim pilihan raya.

PKR amat memahami mereka juga tidak mempunyai jentera pilihan raya yang kuat begitu juga DAP, selama ini hakikat yang tidak boleh dinafikan ialah jentera-jentera Pas yang bertungkus lumus dalam pilihan raya.

“Ini bukan dakwaan tetapi ia sudah dibuktikan dalam pilihan raya-pilihan raya sebelum ini. PKR dan DAP tidak mempunyai jentera pilihan raya yang agresif seperti Pas. Malah kalau pun yang bertanding itu calon PKR, jentera parti itu tidak berupaya melancarkan kempen-kempen seperti mana dilakukan oleh Pas.

Berdasarkan keadaan itu adalah wajar jika pemimpin-pemimpin Pas memikirkan semula sokongan mereka kepada sebarang hasrat mewujudkan satu parti di kalangan pembangkang. Mereka tidak boleh terburu-buru menerima cadangan itu hanya semata-mata dibuai oleh mimpi bahawa ia cara terbaik bagi menamatkan penguasaan politik BN.

Cubalah berfikir dengan jernih adakah PKR dan DAP akan membiarkan Pas mendapat lebih banyak kerusi Parlimen atau Dewan Undangan Negeri dalam pilihan raya?

Jangan bercakap ia soal kesepakatan, apa gunanya kesepakatan kalau ia hanya merugikan Pas dan lebih buruk daripada itu menghancurkan matlamat perjuangan parti.

Jika Pas terlalu teruja dan mahu juga bergabung dalam satu parti bersama PKR dan DAP maka mereka juga harus bersedia tidak lagi menyebut soal gerakan Islam dan perjuangan Islam. Ia kerana apabila sudah berada dalam satu parti, maka semua langkah atau tindakan harus mendapat persetujuan secara sebulat suara, bukannya keputusan sebuah parti sahaja.

Oleh itu Pas harus berhati-hati dalam melahirkan sebarang komitmen ketika konvensyen itu nanti. Mereka boleh menghadiri konvensyen berkenaan tetapi jangan terperangkap dengan aksi-aksi politik PKR dan DAP yang amat memahami sejauh mana bergunanya Pas kepada mereka.

Ingatlah Pas boleh hidup tanpa PKR tetapi PKR belum tentu boleh hidup tanpa Pas, DAP mungkin boleh berjaya tanpa Pas tetapi kejayaan itu tidak akan sehebat apabila Pas bekerjasama dengan mereka. Inilah faktanya. — Mingguan Malaysia

No comments:

Posting Terkini