Pages

Wednesday, December 2, 2009

'Hari Bertenang' sebelum mengundi

Singapura - RAKYAT Singapura tidak perlu runsing dalam menentukan parti politik manakah yang ingin mereka pilih dalam pilihan raya umum mendatang.

Ini memandangkan pemerintah akan memperkenalkan 'Hari Bertenang' 24 jam sebelum berlangsungnya Hari Mengundi bagi membolehkan pengundi membuat keputusan secara tenang sebelum melangkah ke pusat mengundi keesokan hari.

Semasa 'Hari Bertenang' itu, parti politik tidak dibenarkan berkempen.

Perubahan terbaru ini turut merangkumi Pilihan Raya Presiden.

Ini diumumkan Perdana Menteri, Encik Lee Hsien Loong, semasa ditemui media Singapura selepas berakhirnya Mesyuarat Ketua-Ketua Pemerintah Komanwel (Chogm) di Port Of Spain, Trinidad and Tobago, kelmarin.

Menurut Encik Lee, idea mengadakan 'Hari Bertenang' itu telah difikirkan sejak beberapa tahun lalu.

Keputusan meneruskan dengan idea itu timbul menyusuli pelbagai perubahan yang dilaksanakan ke atas peraturan pilihan raya yang disarankannya sebelum ini.

Pada Mei lalu, Encik Lee mengumumkan di Parlimen bahawa sistem politik Singapura akan diubah bagi membolehkan sekurang-kurangnya 18 kerusi atau seperlima daripada kerusi yang ada sekarang, diduduki anggota parti pembangkang dan anggota parlimen dilantik (NMP).

Menerusi pindaan pada Perlembagaan dan Akta Pilihan Raya, sehingga sembilan calon pembangkang dijamin memasuki Dewan sebagai Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) - sama ada mereka menang ataupun kalah dalam pilihan raya umum kelak.

Skim NMP, yang diperkenal pada 1990, akan menjadi ciri tetap dalam sistem parlimen di sini.

'Penggubalan undang-undang kini hampir selesai, tetapi terdapat sedikit kelewatan kerana ada seperkara lagi yang mahu difikirkan, yakni memanjangkan tempoh antara Hari Penamaan Calon dan Hari Mengundi selama sehari lagi dan menggunakan hari yang lebih itu sebagai tempoh bertenang sebelum pengundian berlangsung,' ujarnya.

Menurut Encik Lee, beliau menjangkakan Rang Undang-Undang dapat disiapkan bagi pembacaan pertama pada Januari atau Februari ini, dengan pindaan yang perlu pada Perlembagaan dan rang undang-undang berkaitannya dapat diselesaikan sebelum bahas Belanjawan, yang secara tradisinya berlangsung pada lewat Februari dan awal Mac.

Tetapi Belanjawan tahun ini dibentangkan lebih awal iaitu pada Januari, sebagai respons kepada krisis kewangan jagat.

Menurut Encik Lee, idea mengadakan tempoh 'bertenang' sebelum hari mengundi bukan suatu yang asing.

Negara-negara seperti Australia, Indonesia, Italy dan Mexico punya pendekatan serupa dalam sistem pilihan raya mereka, dengan tempoh 'bertenang' itu dilaksanakan antara sehari hingga tiga hari lamanya.

Singapura pada masa ini membenarkan kempen dijalankan antara Hari Penamaan Calon sehingga sebelum Hari Mengundi.

Pada hari rakyat keluar mengundi, parti politik bagaimanapun dilarang berkempen.

Semasa 'Hari Bertenang' itu, semua bentuk kempen dilarang kecuali penyiaran perutusan politik parti-parti yang bertanding di televisyen dan laporan berita berkenaan pilihan raya umum.

Menurut Encik Lee, jangka masa minimum antara Hari Penamaan Calon dengan Hari Mengundi akan dilanjutkan daripada sembilan kepada 10 hari bagi meliputi 'Hari Bertenang' itu.

'Jadi asasnya, jangka masa berkempen adalah sama seperti sebelum ini tetapi adanya satu hari lagi, sepi sebelum hari mengundi.

'Kami fikir adalah munasabah melaksanakan idea ini. Selepas berlangsungnya kempen pilihan raya yang semarak, anda perlu punya sedikit masa untuk bertenang, merenungkan isu dan hujah dan menganalisis apa yang dipertaruhkan, secara logik dan rasional dan kemudian ke pusat mengundi untuk membuat pilihan anda dalam keadaan tenang,' ujar beliau, sambil berkata beliau masih belum punya tarikh bila pilihan raya umum akan diadakan tapi ia semakin hampir.

Singapura mesti mengadakan pilihan raya umum sebelum Februari 2012.


No comments:

Posting Terkini