Pages

Tuesday, December 15, 2009

Dewan Rakyat tubuh jawatankuasa siasat aduan Wee Chee Keong

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat hari ini meluluskan usul tanpa bahas untuk menubuhkan satu jawatankuasa bagi menyiasat aduan anggota Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong berhubung satu perbuatan menghina majlis yang didakwa berlaku di lobi Parlimen pada 7 Disember lalu.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membuat keputusan itu selepas majoriti Ahli Parlimen bersetuju bahawa usul yang dikemukakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz itu tidak dibahas.

Pada 8 Disember lalu, Wee mendakwa dimarahi Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Shafie Abdullah selepas beliau mendedahkan campur tangan Shafie dalam urusan pentadbiran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur pada sesi perbahasan pada persidangan Dewan Rakyat.

Melalui usul itu, Mohamed Nazri mencadangkan agar jawatankuasa itu ditubuh bagi membolehkan tindakan yang sesuai diambil berhubung perkara itu mengikut Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952.

Beliau berkata mengikut Peraturan Mesyuarat 80A, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, majlis telah mengambil ketetapan untuk menubuhkan jawatankuasa berkenaan.

Mohamed Nazri turut mencadangkan agar jawatankuasa itu dipengerusikan oleh Pandikar Amin dan Datuk Ronald Kiandee sebagai timbalannya.

Selain itu, tujuh nama lain dicadangkan sebagai anggota jawatankuasa berkenaan iaitu Datuk Seri Tiong King Sing (BN-Bintulu), Datuk Seri Dr Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Nancy Shukri (BN-Batang Sadong), R. Sivarasa (PKR-Subang), Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) dan Datuk Kamarudin Jaffar (PAS-Tumpat).

- Bernama


No comments:

Posting Terkini