Pages

Tuesday, December 15, 2009

Bangunan Sultan Suleiman diisytihar warisan kebangsaan

KLANG: Bangunan Sultan Suleiman di sini mencatat sejarahnya tersendiri apabila menjadi bangunan warisan sejarah pertama di Selangor diisytihar sebagai warisan kebangsaan.

Majlis pengisytiharan itu disempurnakan oleh Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah di pekarangan bangunan itu di sini.

Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Senator Heng Seai Kie, berkata bangunan yang diberi pengiktirafan berprestij itu, adalah sebuah bangunan tersohor di samping mempunyai identiti dan sejarahnya tersendiri.

Beliau berkata Bangunan Sultan Suleiman mempunyai gaya seni bina yang memaparkan sentuhan neo klasik lampau yang menggambarkan fungsinya yang praktikal untuk pentadbiran, di samping mempunyai nilai estatik yang dipadankan melalui strukturnya.

"Kriteria warisan tersebut menjadi semakin penting apabila digandingkan dengan memori sejarah kegunaan bangunan ini. Kepentingannya sebagai bangunan pentadbiran telah dapat dibuktikan, maka sewajarlah bangunan ini merupakan kebanggaan yang harus dilindungi, dipelihara dan dipulihara," katanya.

Turut hadir, Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Pesuruhjaya Warisan Jabatan Warisan Negara, Datin Paduka Prof Emeritus Zuraina Majid.

Bangunan Sultan Suleiman yang kini menempatkan Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz dibina pada 1909 semasa pemerintahan Sultan Selangor ketika itu, Almarhum Sultan Sir Ala''eddin Suleiman Shah.

Nama bangunan itu kemudian diisytihar oleh Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah pada 22 Febuari 1989.

Ikon bersejarah ini telah melalui banyak perubahan besar yang bersesuaian dengan zamannya, antara yang terawal ialah, bangunan ini dijadikan sebagai sebuah Istana Hinggap bagi Sultan Suleiman.

Ia juga berfungsi sebagai Bangunan Pejabat Lembaga Bandaran Klang, Pejabat Agama Islam Daerah, Mahkamah Rendah/Tinggi Syariah Daerah Klang, Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor dan cawangan Majlis Perbandaran Klang.

Bangunan itu juga pernah dijadikan Markas Pemerintah Tentera Jepun bermula 1941.

Prof Zuraina pula berkata sehingga ini, sebanyak 21 warisan sejarah di Selangor sedang dalam proses diisytihar sebagai warisan.

Kini terdapat 26 bangunan dan monumen warisan kebangsaan di negara ini. - Bernama

No comments:

Posting Terkini