TAMAN TENAGA – Perumahan Awam Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) Sri Melaka perlu dijual kepada penghuninya kerana mereka lama menghuni di rumah berkenaan dan ia juga adalah aset penduduk.
Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, hasil kajian pihaknya mendapati penghuni di situ majoritinya adalah penduduk asal dan adalah tidak wajar jika mereka tidak dapat memiliki rumah yang didiami lebih 25 tahun itu.
“Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) sudah menghantar memorandum kepada Menteri Wilayah Persekutuan (Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin) pada 5 November lalu mengenai permasalahan penjualan rumah awam DBKL dan PPR MTEN,
“Dalam memorandum itu, pihak kami juga mendesak agar Kementerian Wilayah Persekutuan menjual rumah di beberapa kawasan lain yang tidak tersenarai termasuk Sri Melaka ini,” katanya pada Karnival Blok 34 Sri Melaka, semalam.
Hadir sama, Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Bandar Tun Razak, Azman Abidin; Ketua Penerangan Majlis Pimpinan Negeri PKR Wilayah Persekutuan, Othman Karim dan pengerusi program berkenaan, Amiruddin Ibrahim.
Selain itu, Khalid berkata, beliau mahu agar penjualan rumah itu mengikut kaedah sewa beli kerana ia lebih mudah dan tidak membebankan rakyat.
“DBKL boleh menaikkan kadar bayaran bulanan mereka tetapi perlu mengikut syarat bersesuaian dan harga yang ditawarkan juga perlu mengikut kadar yang berpatutan kerana penghuni di sini membayar sewa lebih 25 tahun kepada mereka,
“Kadar yang boleh dikenakan adalah RM124 ke RM250, namun begitu hasil daripada kutipan wang ini perlu digunakan untuk membaik pulih dan menambah infrastruktur yang diperlukan di kawasan yang terlibat ini,” katanya.
Rumah Awam Sri Melaka ini diduduki lebih 25 tahun lalu dengan harga sewa serendah RM74 sehingga RM124 dan mengikut perkiraan jumlah keseluruhan yang penghuni bayar bagi setiap unit rumah adalah RM58,000.
Oleh itu penduduk di sini berharap agar pihak berkenaan menimbangkan harga yang sewajar untuk mereka membelinya nanti.
Mengikut memorandum yang dihantar oleh Ahli Parlimen PR, hasil daripada program penswastaan (penjualan) rumah-rumah awam ini, kerajaan akan menjana pendapatan dianggarkan sebanyak RM12 bilion yang datangnya daripada golongan berpendapatan rendah.
Anggaran itu tidak termasuk jumlah subsidi yang dihentikan selepas unit rumah itu dijual.
Oleh itu, mereka merasakan kerajaan perlu bertanggungjawab terhadap keselesaan, keselamatan dan kebajikan golongan berkenaan selepas proses penjualan rumah itu nanti.
Tuesday, November 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment