Pages

Wednesday, November 18, 2009

Pemecatan ibarat madu dan racun: Wee

KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda MCA, Datuk Dr Wee Ka Siong, kesal atas pelucutan jawatannya dalam Majlis Presiden MCA hari ini dan mengibaratkannya seperti lagu popular Indonesia "Madu dan Racun".

"Setiap kali diadakan mesyuarat pasti ada orang disingkir, saya tak tahulah. Ini dah jadi macam lagu Indonesia...'racun di tangan kananmu, madu di tangan kirimu, aku tak tahu yang mana engkau akan beri padaku'," katanya.

Ketua Wanita, Datin Paduka Chew Mei Fun, turut dilucutkan daripada majlis itu Wee dan Chew adalah penyokong Naib Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai, dan antara 16 anggota Jawatankuasa Pusat (CC) parti yang mengaturkan mesyuarat agung luar biasa (EGM) pada 28 November bertujuan mendapat sokongan mengadakan pemilihan semula parti.

"Saya menganggap ini satu perkara yang tidak pernah berlaku dalam sejarah MCA dan ini menggambarkan kediktatoran presiden yang hanya berminat untuk memilih orang yang mempunyai pandangan sama," kata Wee kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.

Wee yang juga Timbalan Menteri Pelajaran turut mempersoalkan Pelan Perpaduan Menyeluruh (GUP) yang tidak digambarkan dalam keputusan rombakan Majlis Presiden itu yang diumumkan Datuk Seri Ong Tee Keat selepas mesyuarat Jawatankuasa Pusat.

Beliau turut menggesa perwakilan parti itu keluar beramai-ramai dan menghadiri EGM pada 28 November nanti.

"Saya sedar tekanan itu memang besar dan mereka dihasut jangan keluar dan datang ke EGM dengan mengisytiharkan perhimpunan itu sebagai tak sah daripada segi perlembagaan parti," katanya.

Mesyuarat CC MCA hari ini menolak EGM itu kerana terdapat kecacatan dan ia melanggar perlembagaan parti. - Bernama

No comments:

Posting Terkini