TEHERAN: Iran semalam menjalankan latihan perang bertujuan menguji sistem pertahanan udaranya dan bagi menilai kemampuan melindungi loji nuklearnya.
Latihan semalam termasuk latihan menangkis serangan senjata kimia, kuman dan nuklear, lapor agensi berita Isna.
Jurucakap latihan, Brigedier Jeneral Ali Moghiseh, berkata dalam tahap pertama askar Iran melakukan ujian atas radar buatan sendiri daripada pelbagai kaliber, lapor agensi berita Mehr.
Tentera Iran juga terlibat dalam latihan bagaimana menangkis serangan udara sekiranya sistem radarnya mengalami kerosakan.
Tahap kedua latihan baru bermula semalam, melibatkan langkah menangkis 'perang elektronik' kata agensi Fars yang menukil Jeneral Gholamhossein Mollaei.
Dalam latihan selama lima hari bermula Ahad lalu, tentera Iran juga berlatih bagaimana membersihkan kawasan yang terjejas serangan senjata kimia.
Tentera Iran mendakwa bahawa mantan presiden Iraq, Allahyarham Saddam Hussein, pernah menyerang beberapa kawasan di Iran menggunakan gas beracun dalam Perang Iran-Iraq pada tahun 1980-an.
Latihan perang yang berlangsung sekarang bertujuan mempersiap tindak balas terhadap ancaman serangan udara ke atas kemudahan nuklear Iran.
Seorang panglima Pasukan Pengawal Revolusi Iran kelmarin memberi amaran bahawa pasukan udara Iran akan 'menghapuskan' pesawat perang Israel jika mereka menyerang Iran.
Iran akan menyerang Tel Aviv sekiranya Israel melancarkan serangan tentera ke atas wilayahnya, lapor Press TV, yang menukil Encik Mojtaba Zolnour, wakil pemimpin agama Iran, Ayatollah Ali Khamenei, dalam Pasukan Pengawal Revolusi Iran, dua hari yang lalu.
'Jika pihak musuh cuba melancarkan peluru berpandu ke atas Iran, peluru balistik kami akan mengenai Tel Aviv sebelum serangan berakhir,' kata Encik Zolnour.
Sistem penangkis pesawat yang baru dan kini sedang diuji diberi julukan 'Modafean-e Aseman-e-Valayat 2' demikian stesen televisyen Press TV menukil Menteri Pertahanan Iran, Encik Ahmad Vahidi, sebagai berkata di Teheran lewat kelmarin.
Pemerintah Iran berkata pada September bahawa ia telah membangun sistem yang dapat mengenal pasti dan memusnahkan peluru pemayar yang menggunakan teknologi stealth.
Encik Vahidi berkata Iran bercadang memeterai satu perjanjian dengan Russia untuk membeli peluru berpandu bumi ke udara S-300.
Perjanjian yang melibatkan pembelian berjumlah AS$800 juta ($1.1 bilion) itu ditandatangani pada 2007, lapor Press TV. Encik Vahidi bulan ini mengkritik Russia kerana kelengahan melaksanakan perjanjian itu. -- AFP, Bloomberg.
Tuesday, November 24, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment