Pages

Monday, October 26, 2009

MB Selangor sokong bedahsiasat semula Teoh Beng Hock

SUNGAI BULOH, 26 Okt: Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyokong penuh permintaan keluarga Teoh Beng Hock agar bedahsiasat dilakukan semula ke atas mayat simati dengan penyeliaan pakar patologi antarabangsa, Dr Pornthip Rojanasunand.

Beliau yakin, ia akan membongkar rahsia di sebalik kematian Teoh Beng Hock.

Berdasarkan kepada pengalaman dan pencapaian cemerlang dalam bidang autopsi, Khalid berkata bedah siasat baru di bawah seliaan Dr Pornthip adalah langkah yang sewajarnya diambil.

"Saya rasa ini perlu kerana dia memberikan ketelusan kepada usaha yang dibuat sebab Dr Pornthip yang telah membuat andaian 80 peratus Teoh Beng Hock ialah diseksa dan menyebabkan terjadinya kematian Teoh Beng Hock.

"Kemudian dia juga telah mengatakan beberapa retak tulang itu adalah bukan sebab dia jatuh tetapi oleh sebab ada perkara-perkara yang lain," kata Tan Sri Abdul Khalid.

Keluarga mendiang Teoh Beng Hock mahu bedah siasat dijalankan buat kali kedua bagi merungkai misteri kematian mangsa.

Peguam Gobind Singh Deo berkata pihak keluarga mahu patologis terkenal Dr Pornthip Rojanasunand dari Kementerian Undang-Undang Thailand menguruskan bedah siasat itu.

Langkah ini perlu bagi melihat apakah ada unsur pembunuhan disebalik kematian mangsa. Gobind menambah pihaknya akan memfailkan permohonan untuk bedah siasat kehadapan Koroner Azmil Muntapha Abas selewat-lewatnya Selasa depan.

"Kita tak mahu tunding jadi pada mana-mana pihak. Kita hanya mahu keadilan kepada mendiang. Keluarga mangsa bersetuju untuk menggali kubur mendiang dan kita akan hantar permohonan pada Mahkamah Majistret Shah Alam esok," katanya.

Mangsa ditemui mati pada 16 Julai lalu di bumbung tingkat 5 Plaza Masalam dipercayai terjatuh dari tingkat 14 ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Selangor.

Dr Pornthip dari Kementerian Undang-undang Thailand dilantik Kerajaan Selangor bagi membantu inkues menyiasat punca kematian pembantu kepada Exco Selangor itu.

Dr Pornthip menempa nama dalam pembabitannya membedah siasat mangsa tragedi Tsunami 2007 dan membongkar kes-kes rumit di Thailand. Sepanjang keriernya sebagai ahli patologi, dia telah membedah lebih 10,000 mayat.

No comments:

Posting Terkini