LONDON: Sebuah kolej di Britain melarang seorang wanita Islam berpurdah daripada menjadi pelajar institusi pendidikan itu.
Cik Shawana Bilqes, 18 tahun, tidak diterima menjadi pelajar Kolej Burnley selepas beliau mendaftar untuk menghadiri satu kursus.
Larangan itu berpunca daripada tindakan pengurusan kolej meminta Cik Shawana membuka purdah yang menutup muka dan hanya menampakkan matanya.
Namun, Cik Shawana enggan mematuhi permintaan itu atas sebab-sebab agama.
Masalah itu menyebabkan Cik Shawana terpaksa membatalkan rancangan mendaftarkan dirinya untuk satu kursus peringkat diploma.
'Saya memilih untuk memakai purdah. Saya tinggal di kawasan dekat kolej itu yang mempunyai ramai penduduk Islam,' kata Cik Shawana.
'Saya pernah memasuki kadet polis sebelum ini dan memakai purdah tanpa mengalami masalah,' katanya.
Pengetua kolej, Encik John Smith, mempertahankan tindakan pengurusannya dengan menyatakan proses pembelajaran itu memerlukan komunikasi tanpa halangan dengan pelajar.
Menurutnya, pihak kolej juga meminta semua petugas dan pelajar memakai lencana yang menunjukkan wajah mereka atas sebab-sebab keselamatan. -- Agensi.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment