Ekoran laporan berjudul Janda 'Naga Bukit Panjang' yang disiarkan oleh Berita Harian pada 5 September lalu, beberapa wanita terpanggil untuk mengadu sama - suami mereka mungkin main kayu tiga dengan janda berkenaan. Lebih memeranjatkan ialah salah seorang wanita itu turut mendakwa janda anak dua yang bekerja di sebuah kedutaan asing itu turut makan komisen dengan menjadi ejen kahwin mutaah atau kahwin kontrak. Berikut ialah hasil temu bual SAINI SALLEH dengan sekumpulan sang isteri yang turut mencurahkan kepedihan dan kebimbangan rumah tangga mereka mungkin punah-ranah akibat dibaham 'naga' tersebut.
HANA (bukan nama sebenar), wanita tinggi lampai dan rambut ikal mayang, mungkin berstatus janda jika tidak kerana satu keputusan genting yang dibuatnya lebih tiga tahun lalu.
Keputusan untuk terus hidup solo itu dibuatnya meskipun beliau bakal bermandikan wang tunai sekitar $18,000.
Mentelah lagi, jika setuju bergelar isteri sekalipun, tiada apa yang luak pada batang tubuhnya bahana Hana tidak perlu tidur sekatil atau makan semeja dengan suaminya.
Kehidupan sebagai suami isteri itu hanyalah di atas kertas.
Itulah janji muluk-muluk belaka yang ditaburkan oleh Syma (bukan nama sebenar), seorang janda berusia 48 tahun, apabila mereka duduk semeja di sebuah restoran makanan segera di Orchard Road pada 2006.
Kakak Hana yang rapat dengan Syma juga duduk semeja.
Tetapi, belum sempat kerusi yang Hana duduk panas, seorang lelaki Arab berjambang dan berkot, datang duduk selamba.
Syma membuka mulut dengan berkata pertemuan tersebut bertujuan mengatur kahwin kontrak antara Hana dengan lelaki Arab yang menyelinap matanya bak x-ray yang mengimbas dari mata ke kaki Hana.
Belum sempat Hana mencelah, karyawan Arab berusia lewat 40-an tahun itu menawarkan $18,000 jika beliau setuju menjadi isterinya.
Syma meminta bayaran tersebut dinaikkan kepada $25,000 tetapi ditolak lelaki Arab yang terus menyatakan beliau hanya mampu membayar $18,000.
Hana, yang mendakwa tidak tahu-menahu mengenai kahwin kontrak, gamam seketika kerana merasakan Syma cuba memperjudikan masa depannya.
Menurut beliau, Syma memberitahunya kahwin kontrak itu hanya untuk tempoh enam bulan atau selepas karyawan Arab itu mendapat taraf Penduduk Tetap (PR).
Bagaimanapun, perkahwinan itu hendaklah didaftarkan di negara asing untuk tujuan mendapatkan sijil nikah bagi dijadikan sandaran untuk memohon PR di sini.
'Masa tu memang umur saya dah mencecah 30 tahun atau anak dara tua tetapi saya ada harga diri dan tak mahu sesiapa cuba memperdagangkan saya sebagai barang.
'Kerana itu saya terus memberitahu Syma bahawa saya tak mahu kahwin kontrak yang diaturkannya itu. Malah saya memarahinya kerana dia ingat saya perempuan murahan dan mata duitan seperti dia yang sanggup menyerahkan tubuhnya kepada sesiapa yang dia suka,' kata Hana, kini 34 tahun, yang telah berumah tangga dan mempunyai seorang anak.
Hana, seorang kerani sebuah kilang, mendedahkan kegiatan kahwin kontrak yang didalangi Syma, seorang kakitangan sebuah kedutaan asing di sini.
Hana tampil selepas membaca laporan mengenai Syma, janda 'Naga Bukit Panjang', yang disiarkan oleh Berita Harian pada 5 September lalu.
Dalam laporan itu, seorang isteri, Cik Mariah, 45 tahun, mendedahkan bagaimana suaminya, yang bekerja di luar negara dan pulang ke sini tiga bulan sekali, menjadi mangsa pisau cukur Syma.
Selain suaminya, beberapa lagi lelaki juga menjadi mangsa janda yang disifatkan suka hidup mewah, gemar memakai barangan berjenama dan dilihat sering bertukar pasangan.
Hana menyatakan beliau menolak kahwin kontrak yang diaturkan Syma itu kerana ia tidak sah di sisi Islam dan beliau tidak tahu masa depannya jika bersetuju.
Berita Harian pernah melaporkan kegiatan kahwin kontrak atau mutaah melibatkan beberapa lelaki berfahaman Syiah di sini.
Namun, seorang pemimpin kumpulan itu pernah menyatakan bahawa meskipun kahwin mutaah halal mengikut fahaman Syiah, mereka tidak menggalakkan para anggotanya mengamalkannya.
Ini kerana tidak terdapat keperluan bagi kahwin mutaah dan memandangkan masalah sosial yang boleh timbul jika ia berleluasa.
Hana selanjutnya berkata: 'Saya kenal dia dah agak lama juga menerusi seorang kenalan, tetapi apabila jumpa sahaja, dia cakap pasal lelaki, ketuk lelaki dan kata sesetengah lelaki bodoh kerana mudah dia permainkan.
'Syma juga selalu cerita dia ikut lelaki itu, lelaki ini melancong dan banyak dapat duit.
'Kerana itu, dia paksa saya kahwin kontrak dengan lelaki Arab kerana dia kata hidup kita senang, dapat banyak duit dan boleh selalu makan angin,' kata Hana.
Menurutnya, Syma juga memberitahu bahawa dia telah menjodohkan beberapa karyawan Timur Tengah dengan beberapa kenalannya menerusi kahwin kontrak.
'Dia tak pula cakap apa yang terjadi kepada wanita-wanita itu selepas kontrak kahwin selesai enam bulan atau setelah karyawan Arab itu mendapat PR.
'Saya pun lupa nak tanya kerana saya tak mahu dilibatkan dengan kahwin kontrak!' tambah Cik Hana.
Bagi beliau, Syma bukan sahaja 'naga' malah 'ejen' menjandakan wanita.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment