Pages

Tuesday, August 11, 2009

Kematian Noordin Top kian disangsi

JAKARTA: Pengganas warga Malaysia, Noordin Mohammed Top, mungkin masih bebas di Indonesia meskipun terdapat laporan mengenai kematiannya, menurut polis semalam.

Analisis cap jari mengesahkan lelaki yang dibunuh komando polis dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Beji, Jawa Barat, hujung minggu lalu bukan Noordin, kata satu sumber polis yang terlibat dalam siasatan itu kepada AFP.

'Lelaki itu bukan dia. Kami tahu daripada raut wajah dan cap jarinya,' kata sumber tersebut.

Kami akan terus menjejaki di mana dia berada,' tambah beliau.

Polis tidak menolak kematian Noordin, tetapi tetap berpendapat ujian DNA masih diperlukan.

Siapa sebenarnya lelaki itu harus dibuktikan secara saintifik,' kata jurucakap polis Indonesia, Encik Nanan Soekarna.

Gambar mayat yang penuh dengan luka tembakan peluru menyusuli serbuan selama 17 jam Sabtu lalu itu tidak serupa dengan Noordin, kata sumber polis dan pakar bebas.

'Gambar lelaki itu tidak ada persamaan sama sekali,' kata Cik Sidney Jones, penganalisis keselamatan Kumpulan Krisis Antarabangsa.

'Sungguh mengecewakan kerana polis yakin telah mengepung Noordin di rumah itu,' tambah beliau.

Namun, polis patut dipuji kerana berhasil menjejaki rangkaian pengganas di Bekasi dan Temanggung, di Jawa Barat, selain membuat tangkapan lain dan menemukan kilang membuat bom di luar Jakarta, kata Cik Jones.

Masih belum diketahui adakah Noordin berada di rumah yang dikepung polis Jumaat lalu tetapi sumber antipengganasan polis membayangkan Noordin mungkin telah melarikan diri sebelum polis sampai.

'Kami tidak sepantas beliau,' kata sumber polis itu.

Encik Soekarna berkata dua lelaki yang diberkas di Beji Jumaat lalu memberitahu polis Noordin berada dalam rumah itu. Seseorang dalam rumah kedengaran berteriak 'Ya, saya Noordin Top' semasa serbuan dilakukan.

Akhbar Jakarta Post, yang menukil sumber polis berkata Noordin tidak termasuk mereka yang terkorban atau ditangkap. Noordin pernah meloloskan diri dalam dua serbuan ke atas tempat persembunyiannya sebelum ini.

Sementara itu, isterinya yang berada di Ulu Tiram , Johor, berkata beliau reda jika suaminya terbunuh dalam serbuan itu.

'Isterinya hanya berserah pada Allah dan menerima berita itu dengan reda andai ajal suaminya ditakdirkan begitu,' kata seorang keluarga terdekat.

Lima rakan subahat Noordin sudah diberkas baru-baru ini dan dua bakal pengebom nekad ditembak mati dalam serbuan Sabtu lalu di sebuah rumah yang sarat dengan bahan letupan di Bekasi, di pinggir Jakarta.

Polis berkata mereka merancang meletupkan trak berisi bahan letupan di kediaman Presiden Susilo Bambang Yudhoyono.

Seorang lelaki yang terbunuh di Bekasi dikenal pasti sebagai Air Setiawan, seorang pengikut Noordin yang terlibat dalam merancang serangan bom trak di kedutaan Australia di Jakarta pada 2004. -- AFP, Bloomberg,

No comments:

Posting Terkini