Pages

Monday, August 17, 2009

Juruterbang terbunuh apabila pesawat ringan terhempas

TAIPING - Seorang warga asing terbunuh apabila pesawat ringan yang dipandunya terhempas dan terbakar ketika baru berlepas di Lapangan Terbang Tekah, di sini, hari ini.

Timbalan Ketua Polis Daerah Taiping, Superintendan Syed Abdul Wahab Abdul Majid berkata, mangsa yang terbunuh dikenali sebagai Micheal Rober berasal dari United Kingdom.

Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira jam 12 30 tengah hari, dan mangsa mengalami cedera parah dianggota badan dan turut melecur, meninggal dunia di tempat kejadian.

“Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Taiping untuk dibedah siasat, dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Taiping, telah dikejarkan ketempat kejadian bagi memadamkan kebakaran

“Semasa kejadian itu, mangsa yang memandu bersendirian melakukan ujian keatas pesawat berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Operasi Kanan Jabatan Bomba dan Penyelamat Taiping, Mohd Sobri Abdullah berkata, ketika kejadian anggota bomba telah ditempatkan di lapangan terbang tersebut, atas permintaan daripada Syarikat Patimas Technology Centre yang dipercayai pemilik pesawat terbabit.

Katanya, ketika pesawat tersebut berada kira-kira 200 meter di ruang udara, tiba-tiba ia menjunam ke bawah dan terhempas lalu terbakar.

“Seramai 18 anggota bomba dengan tiga jentera dikejarkan ke tempat kejadian bagi memadamkan kebakaran sebelum mangsa dikeluarkan.

“Kami bersama pihak polis masih menyiasat punca kejadian itu, dan hasilnya dijangka akan diperolehi dalam jangka masa yang terdekat,” katanya.

No comments:

Posting Terkini