Pages

Saturday, August 22, 2009

Dr M tidak pasti adakah calon BN layak

Ketika Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menafikan calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Permatang Pasir, Rohaizat Othman disabotaj oleh ahli-ahli Umno, berlainan pula kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jika anda memberikan seseorang sebab yang baik untuk mensabotaj anda, mudahlah disabotaj dan ia salah anda sendiri," Malaysian Insider memetik sindiran Dr Mahathir.

Kenyataan bekas Presiden Umno itu dilihat menambahkan lagi tekanan ke atas BN dan Rohaizat.

Laman berita itu juga melaporkan bahawa Dr Mahathir tidak pasti adakah Rohaizat layak bertanding.

Malaysiakini pula melaporkan, sambil tersengih Dr Mahathir berkata: "Saya diberitahu bahawa beliau dituduh mempunyai dua orang isteri, tetapi dia kata tidak. Kemudian seseorang menunjukkan gambar. Saya tidak tahu adakah orang seperti itu layak untuk dipilih sebagai wakil rakyat atau tidak.

"Saya tak tahulah".

Laman berita itu bagaimanapun tidak dapat memastikan adakah gambar wanita yang didakwa sebagai seorang lagi isteri Rohaizat itu, yang dikatakan bernama Rafizah Mohd Ali, sudah disebarkan kepada umum.

Tetapi, menurut Malaysiakini, media di Permatang Pasir telah mendapat khabar bahawa ada pihak tertentu yang menyebarkan rakaman video temubual dengan Rafizah baru-baru ini.

Kontroversi mengenai Rohaizat tercetus apabila didedahkan pendaftaran beliau sebagai penguambela dan peguamcara telah dibatalkan.

Presiden Majlis Peguam, Ragunath Kesavan berkata, kesalahan tersebut adalah tanggungjawab Rohaizat sendiri dan tidak melibatkan orang lain kerana Rohaizat sendiri yang dinamakan oleh pihak pengadu dan bukan rakannya.

"Walaupun anda membayarnya, tetapi kesalahan telah dilakukan dan ia merupakan kesalahan yang serius kerana ia melibatkan transaksi dengan wang pelanggan.

"Jika anda tidak bersalah, anda tidak akan didapati bersalah oleh ahli jawatankuasa disiplin dan tuduhan di bawah Seksyen 103D sama seperti salah laku jenayah," katanya lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Majlis Peguam yang membicarakan kes Rohaizat ialah Tan Sri Khalid Ahmad Sulaiman yang pernah menjadipemangku Ketua Menteri Pulau Pinang di zaman BN memerintah negeri itu. Rayuan Rohaizat supaya keputusan Majlis Peguam itu dibatalkan telah ditolak oleh Mahkamah Tinggi pada 12 Ogos lalu.

Enggan mengakui penglibatan Rohaizat dengan penggunaan wang pelanggan, Umno berbohong pula dengan menuduh rakan beliau dalam firma guamannya, Yusri Isahak yang melakukan kesalahan itu.

Menambahkan lagi derita Umno dan Rohaizat, Yusri kemudiannya mengadakan sidang akhbar menafikan dakwaan Umno yang mengkambinghitamkannya berhubung kes membabitkan pembelian hartanah oleh Koperasi Pekebun Getah Negeri Pulau Pinang (KPGNPP) pada 2002. - Harakah

No comments:

Posting Terkini