Pages

Friday, May 8, 2009

DEWAN SENAT HAWAII LULUSKAN RANG SAMBUT 'HARI ISLAM'

HONOLULU: Dewan Senat Hawaii kelmarin meluluskan satu rang undang-undang bagi menyambut 'Hari Islam' dengan sokongan majoriti ahli dewan.

Segelintir penggubal dasar yang menentang rang itu berkata mereka tidak mahu memberi penghormatan kepada agama yang dikaitkan dengan serangan pengganas pada 11 September 2001 ke atas Amerika Syarikat.

Dua anggota Parti Republikan yang menentang rang itu berkata sekumpulan kecil pengganas yang mengaku beragama Islam membunuh ramai mangsa yang tidak bersalah dalam serangan mereka.

'Saya ingat bagaimana golongan Islam radikal di seluruh dunia bersorak apabila serangan dahsyat 9/11 berlaku.

'Itu harinya yang harus diingati oleh semua anggota masyarakat tamadun daripada semua agama,' kata Senator Fred Hemmings.

Rang undang-undang bagi mengiktiraf 24 September 2009 sebagai 'Hari Islam' bagaimanapun diluluskan oleh Dewan Senat dengan 22 undi menyokong dan tiga undi membantah.

Sebelum itu, rang tersebut diluluskan oleh Dewan Perwakilan.

Rang itu bertujuan mengiktiraf sumbangan besar dunia Islam serta agama Islam dalam bidang sains, budaya dan kesenian.

Ia bagaimanapun tidak menetapkan sebarang peruntukan dana bagi menyambut hari itu atau sambutan khusus pada hari tersebut.

'Kita sebuah negeri yang mengamalkan toleransi. Kita faham bahawa masyarakat mempunyai kepercayaan yang berbeza-beza.

'Kita mungkin tidak bersetuju sepenuhnya dalam setiap perkara dan isu yang ada. Tetapi bagi menonjolkan unsur negatif masyarakat Islam, itu satu penghinaan terhadap majoriti penganut Islam yang merupakan rakyat dunia yang patuh terhadap undang-undang,' kata Senator Will Espero daripada Parti Demokrat.

Senator Sam Slom daripada Parti Republikan pula berkata Amerika Syarikat sudah menjadi terlalu bersimpati terhadap pelampau Islam.

'Saya rasa tiada lain negara dalam sejarah dunia ini yang lebih toleran berbanding dengan Amerika dan ekoran toleransi ini, kita sudah banyak kali mengalihkan pandangan dan beribu-ribu rakyat kita dibunuh oleh para pengganas,' kata Encik Slom.

Satu lagi undi bantahan datang daripada seorang Senator daripada Parti Demokrat ekoran kebimbangan terhadap pentadbiran negara akan terpisah daripada pihak Gereja. -- AP.

No comments:

Posting Terkini