Pages

Saturday, May 30, 2009

Amerika tak rasa perlu tambah askar di Korea S

SEOUL: Korea Utara semalam berkata ia akan mengambil lebih banyak langkah 'mempertahan diri' jika Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengenakan sekatan berhubung ujian bom nuklearnya minggu ini.

'Jika Majlis Keselamatan PBB memprovokasi kami, langkah tambahan kami untuk mempertahan diri tidak dapat dielakkan,' kata satu kenyataan Kementerian Luar Korea Utara.

Sebarang tindakan permusuhan oleh Majlis Keselamatan PBB bermakna pembatalan gencatan senjata,' tambah kenyataan itu, merujuk kepada gencatan senjata yang menamatkan Perang Korea 1950-53.

'Dunia tidak lama lagi akan menyaksikan bagaimana askar dan rakyat kami mempertahan maruah dan kemerdekaan semasa berdepan dengan penindasan dan tindakan kuku besi Majlis Keselamatan PBB,' kata kenyataan yang disiarkan Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) itu.

Menurut Pyongyang, ujian nuklearnya merupakan ujian yang ke 2,054 dalam sejarah dunia.

Hampir kesemua ujian lain dilakukan oleh lima anggota tetap Majlis Keselamatan PBB.

Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Robert Gates, semalam berkata ujian nuklear Korea Utara memberi peluang kepada China untuk menyokong tindakan tegas masyarakat antarabangsa.

'Berdasarkan apa yang dinyatakan secara terbuka oleh pemerintah China, jelas mereka tidak senang (dengan ujian nuklear),' kata Encik Gates kepada pemberita yang mengiringi beliau ke Singapura bagi persidangan tahunan keselamatan Asia yang dikenali sebagai Dialog Shangri-La.

'Adalah penting China menyertai usaha bagi menangani isu tersebut,' tegasnya.

Menurut Encik Gates, beliau tidak nampak perlunya tindakan ketenteraan 'kecuali mereka (Korea Utara) berbuat sesuatu yang memerlukannya'.

Amerika, kata beliau, tidak perlu menambah askarnya yang berjumlah 28,500 orang di Korea Selatan kerana beliau tidak 'melihat' ada pergerakan luar biasa askar Korea Utara yang berjumlah 1.1 juta orang itu.

'Saya tidak fikir kami perlu meningkatkan kehadiran tentera kami di Korea Selatan. Saya tidak melihat sebarang pergerakan luar biasa askar Korea Utara,' tegasnya.

Semalam bot-bot nelayan China mula meninggalkan perairan dekat sempadan dua Korea di Laut Kuning menyusuli amaran Pyongyang akan menyerang kapal-kapal yang cuba memintas kapal-kapal Korea Utara yang disyaki membawa senjata pemusnah, kata Kementerian Pertahanan Korea Selatan. -- Agensi.

No comments:

Posting Terkini