Pages

Wednesday, May 6, 2009

Aktivis Bersih diseret ke mahkamah

Jurucakap Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) Wong Chin Huat ditahan reman sehari oleh Mahkamah Magistret Kuala Lumpur bagi siasatan bawah Akta Hasutan.

Beliau, yang juga Pakatan Penulis untuk Kebebasan Media (Wami), ditangkap selepas jam 8 malam tadi di rumahnya Taman Sri Sentosa, Kuala Lumpur.

Pensyarah kajian media di sebuah universiti tempatan itu kemudian dibawa ke Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan untuk soal siasat - kemudian dipindahkan ke suatu tempat yang tidak diketahui sejurus selepas tengah malam.

Pengarah jabatan itu Datuk Koh Hong Sun berkata Wong yang ditahan di bawah akta tersebut kerana menulis beberapa artikel termasuk kempen "1Black Malaysia", lapor Bernama malam tadi.

Tindakan polis itu dipercayai berkaitan dengan kempen berbaju hitam esok - yang dijalankan oleh Bersih - sebagai tanda membantah persidangan DUN Perak yang dianggap NGO itu "tidak mengikut perlembagaan."

Bersih melancarkan kempen itu dalam satu sidang media di Kuala Lumpur, pagi semalam.

Persidangan DUN Perak kali ini sangat genting untuk BN dan Pakatan Rakyat susulan krisis perebutan kuasa sejak Februari lalu.

Kedua-dua pihak mengakui menteri besar yang sah - Datuk Zambry Abd Kadir (BN) dan Datuk Seri Mohamad Nizar Jamaluddin (Pakatan) - dan tuntutan ini masih belum diputuskan di mahkamah.

Keadaan tidak menentukan dipercayai boleh menimbulkan suasana tegang dan penuh emosi di dalam dan luar bangunan DUN tersebut.

Polis kelmarin melarang orang ramai berhimpun dekat Bangunan Perak Darul Ridzuan, yang menempatkan bangunan DUN, setelah penyokong Pakatan ingin tampil menyaksikan peristiwa penting itu dan menyatakan sokongan kepada kerajaan pilihan mereka.
- Malaysiakini

No comments:

Posting Terkini