Pages

Sunday, April 26, 2009

Umno tandus pemimpin wibawa

BACHOK, 26 April - Adakah krisis dalaman Umno di Terengganu selesai dengan pelantikan Dato' Seri Hishammuddin Hussien sebagai pengerusi baru Perhubungan Umno menggantikan Dato' Ahmad Said.

Sedangkan hasrat 10 Adun Barisan Nasional (BN) yang diketuai Dato' Seri Idris Jusoh mahu Ahmad bukan sahaja dilucut jawatan pengerusi perhubungan, sebaliknya tidak lagi mengetuai kerajaan negeri.

Namun apa yang berlaku sekarang Ahmad kekal menerajui kerajaan Terengganu biar pun diturunkan kedudukan sebagai Timbalan Pengerusi Perhubungan Umno.

Mengulas perkembangan itu, Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, pelantikan orang luar mengetuai Umno Terengganu menggambarkan tiada pemimpin tempatan yang layak.

Katanya, Umno terpaksa membawa Naib Presidennya, Dato' Seri Hishamuddin mengetuai Umno Terengganu bagi meredakan keadaan.

Oleh itu beliau berkata, krisis tersebut memberi peluang lebih luas kepada PAS mengkukuhkan kedudukan di Terengganu bagi menghadapi pilihan raya akan datang.

"Memang kita ada peluang daripada awal lagi cumanya kita mahu pilihan raya dilakukan dengan adil. Di Terengganu terdapat perkara yang luar biasa di mana pengundi lebih 50 peratus daripada penduduk negeri.

"Dan ia perlu dibersihkan daftar pemilih terlebih dahulu," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat agung PAS Bachok kali ke-52 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa yang juga anggota parlimen Bachok.

Jumaat lalu, Presiden Umno, Dato' Seri Najib Razak mengumumkan perubahan pengerusi perhubungan Umno di beberapa negeri termasuk Terengganu diketuai Hishamuddin dan Dato' Mustapa Mohamad menggantikan Tan Sri Annuar Musa di Kelantan.

Mengulas isu sama, Pengerusi Perhubungan KeADILan Kelantan, Aziz Abdul Kadir berkata, pelantikan Mustapa mengetuai Umno Kelantan tidak mengejutkan.

Sebaliknya kata beliau Umno kekurangan tokoh untuk diketengahkan sehingga terpaksa melantik pemimpin yang pernah menjadi pengerusi Umno negeri sebelum ini.

"Tukar balik di kalangan pemimpin yang sama. Ini sudah cukup menggambarkan Umno Kelantan benar-benar ketandusan pemimpin berwibawa untuk diketengahkan," katanya. - Harakah

No comments:

Posting Terkini