Pages

Tuesday, April 28, 2009

9 termasuk 6 sekeluarga Pakistan lemas

JOHOR BAHARU: Sembilan orang, termasuk enam sekeluarga warga Pakistan, mati lemas sementara seorang lagi kanak-kanak ahli keluarga Pakistan itu berjaya diselamatkan selepas bot yang mereka naiki karam di perairan Teluk Ramunia, dekat sini awal pagi ini.

Ketua Penguatkuasa Maritim Wilayah Selatan, Laksamana Pertama Maritim Che Hassan Jusoh, berkata pihaknya menerima maklumat kira-kira jam 9.08 pagi mengenai sebuah bot karam di kedudukan 3.2 batu nautika selatan perairan Teluk Ramunia.

"Bertindak daripada maklumat tersebut, Maritim Malaysia melancarkan operasi di tempat kejadian dengan menugaskan dua bot laju dengan turut memberi bantuan kepada dua bot laju Pasukan Gerakan Marin," katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Che Hassan berkata, berdasarkan maklumat awal, sebuah kapal dagang Atago telah menemui mayat seorang kanak-kanak lelaki kira-kira jam 4.40 pagi tadi di perairan Pengerang.

Beliau berkata, sebuah kapal dagang Restore pula menemui satu mayat wanita selain menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki di perairan sama kira-kira jam 7.55 pagi.

Katanya, pengawal pantai Singapura kemudian menemui satu lagi mayat lelaki kira-kira jam 10 pagi di perairan mereka sebelum Maritim Malaysia menemui dua mayat lelaki dewasa dan satu mayat kanak-kanak perempuan di kedudukan 1.4 batu nautika tenggara Tanjung Ayam, perairan Teluk Ramunia, pada jam 12.40 tengah hari.

"Satu mayat lelaki dan satu mayat wanita kemudian ditemui Pasukan Gerakan Marin pada kira-kira jam 1.20 tengah hari di perairan Pulau Lima sebelum mayat seorang lagi lelaki ditemui kira-kira jam 3 petang di kawasan sama," katanya.

Che Hassan berkata, Maritim Malaysia masih belum mengenalpasti semua mangsa dan punca kejadian manakala kanak-kanak yang terselamat itu masih dalam keadaan lemah.

Beliau berkata, kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Kota Tinggi untuk pemeriksaan dan kanak-kanak itu memaklumkan mangsa yang mati lemas adalah di kalangan anggota keluarganya.

Katanya, semua mayat dibawa ke Hospital Sultan Ismail di sini dan gerakan mencari dan menyelamat dihentikan pada pukul 6 petang tadi. - Bernama

No comments:

Posting Terkini