Pages

Tuesday, March 10, 2009

TENTERA KOREA U SIAP UNTUK PERANG

SEOUL: Korea Utara semalam meletakkan tenteranya dalam keadaan bersiap sedia untuk berperang sedang askar Amerika Syarikat dan Korea Selatan memulakan satu latihan bersama yang disifatkan Pyongyang sebagai persiapan bagi satu serangan.

Pyongyang memberi amaran akan bertindak balas terhadap sesiapa saja yang cuba menggagalkan pelancaran sebuah satelitnya ke angkasa lepas. Sebarang percubaan menembak jatuh roketnya akan dianggap satu tindakan peperangan, kata Pyongyang.

Korea Utara berulang kali menegaskan ia sedang membuat persiapan bagi pelancaran sebuah satelit komunikasi.

Tetapi Seoul dan Washington mengesyaki tujuan sebenar Pyongyang ialah menguji peluru berpandu Taepodong-2 yang boleh mengenai sasaran di Alaska.

Korea Utara memutuskan saluran komunikasi terakhir dengan Korea Selatan sepanjang 12 hari latihan berlangsung. Ini menyebabkan lebih 700 orang tidak dapat menyeberang masuk untuk bekerja di kompleks perindustrian di Kaesong, Korea Utara.

Langkah itu menyusuli amaran Pyongyang minggu lepas agar pesawat awam Korea Selatan tidak menggunakan ruang udara Korea Utara.

Pyongyang berulang kali menuduh Seoul dan Washington menjadikan latihan ketenteraan tahunan mereka sebagai satu persiapan bagi melancar serangan.

Ketegangan semakin meningkat apabila pegawai Amerika dan Jepun minggu lepas membayangkan mereka mungkin menembak jatuh peluru berpandu Korea Utara jika ia menghala ke Jepun.

Laksamana Timothy Keating, ketua Armada Pasifik Amerika, berkata kapal pemintas sudah bersiap sedia.

'Jika ia bukan satu pelancaran satelit, kami akan bertindak balas sebagaimana yang diarah presiden,' kata beliau.

Panglima tertinggi Korea Utara memberi amaran mereka akan bertindak balas jika terdapat sebarang percubaan hendak memintas satelitnya.

'Menembak jatuh satelit kami bererti perang,' tegas beliau, sebagaimana ditukil Agensi Berita Pusat Korea (KCNA) semalam.

Sebarang pemintasan akan mengundang 'serangan balas bukan saja ke atas peluru pemintas tetapi terhadap semua pangkalan Amerika, Jepun dan Korea Selatan', kata kenyataan itu lagi.

Jurucakap Kementerian Pertahanan Korea Selatan, Encik Won Tae-jae, tidak membesar-besar ancaman Pyongyang itu dan menyifatkannya sebagai 'gendang kosong'. Menurutnya, tentera Korea Selatan sudah siap bagi menghadapi sebarang kemungkinan.

Duta khas baru Amerika, Encik Stephen W. Bosworth, semalam bertemu Menteri Luar Korea Selatan, Encik Yu Myung-hwan, dan Menteri Pertahanan, Encik Lee Sang- hee, untuk membincangkan ketegangan yang sedang berlaku. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini