Pages

Saturday, March 28, 2009

STRATEGI OBAMA ATASI AL-QAEDA DI AFGHAN DAN PAK

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Barack Obama, dijangka mengumumkan satu strategi baru untuk 'menyekat, membubar dan mengalahkan' Al-Qaeda di kubu persembunyian mereka di Afghanistan dan Pakistan.

Untuk tujuan itu beliau akan menghantar 4,000 lagi askar Amerika dengan misi untuk melatih dan membesarkan angkatan tentera Afghanistan bagi memain peranan utama dalam kempen memerangi pengganasan.

Encik Obama juga bercadang menghantar beratus lagi kakitangan awam dan pekerja untuk membantu Afghanistan membangun semula negara.

Kesemua pasukan ini adalah sebagai tambahan kepada 17,000 askar yang penghantarannya sudah pun diluluskan oleh Encik Obama.

Strategi baru itu, hasil kajian semula selama 60 hari bersama para sekutu Amerika, merupakan satu langkah paling berani pernah dilakukan Encik Obama sejak nengambil alih kuasa dua bulan dulu.

'Ia satu matlamat yang jelas dan boleh dicapai. Matlamatnya ialah menyekat, membubar dan mengalahkan Al-Qaeda di kubu persembunyian mereka di Afghanistan dan Pakistan,' kata seorang pegawai Amerika.

Strategi itu sejajar dengan hujah Encik Obama bahawa Amerika mengalami kegagalan selepas serangan 11 September 2002 kerana ia memberi tumpuan kepada Iraq dan mengabaikan operasi di Afghanistan.

'Tujuh setengah tahun selepas 11 September, kepimpinan Al-Qaeda termasuk Osama bin Laden dan orang lain telah berpindah dari Kandahar, di Afghanistan, ke satu lokasi yang tidak diketahui di Pakistan,' kata seorang pegawai.

'Dari lokasi di Pakistan, mereka merancang serangan baru terhadap Amerika, terhadap sekutu kami dan terhadap askar kami di Afghanistan, dan terhadap sahabat kami Pakistan,' tambah beliau.

Rancangan Encik Obama itu memerlukan biaya berbilion dolar. Para pegawai beliau kelmarin berkata mereka belum tahu berapa biaya yang diperlukan bagi strategi itu.

Namun, yang jelas, rancangan itu tidak menyebut jadual waktu bagi pengunduran tentera Amerika.

'Kami mahu bergerak secara agresif dan secepat mungkin untuk membangun tentera Afghan agar berupaya mempertahankan negara dan mengalahkan Taleban dan Al- Qaeda,' kata seorang pegawai.

Encik Obama menghubungi Presiden Afghanistan, Encik Hamid Karzai, dan Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, kelmarin untuk memberi taklimat kepada mereka mengenai rancangan beliau.

Panglima Taleban, Mullah Hayat Khan, mencemuh rancangan itu.

'Menghantar lebih banyak askar tidak akan menjejas aktiviti Taleban,' tegas beliau.

Perkembangan itu berlaku menjelang satu persidangan mengenai Afghanistan tajaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di The Hague Selasa ini, yang bakal dihadiri pemimpin 80 negara, termasuk Setiausaha Negara Amerika, Cik Hillary Clinton.

Encik Obama akan menghadiri satu mesyuarat Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Perancis dan Jerman minggu depan.

Amerika menjangka beberapa anggota Nato akan menyumbang lebih banyak askar bagi menghadapi peperangan di Afghanisan. -- AP, AFP.

No comments:

Posting Terkini