Pages

Friday, March 13, 2009

Sekilas Dunia dan Malaysiakini

Raja Thai masuk hospital

BANGKOK: Raja Bhumibol Adulyadej bagi Thailand, 81 tahun, dimasukkan ke Hospital Siriraj di Bangkok bagi satu pemeriksaan yang dijadual semalam, kata seorang pegawai hospital.

Beliau tiba di hospital itu Rabu lalu ditemani Ratu Sirikit dan beberapa anggota keluarganya.

Pegawai itu bagaimanapun enggan menyatakan berapa lama beliau akan berada di sana. -- Reuters.

Parti Demokrat dahului lawan

JAKARTA: Parti Demokrat pimpinan Presiden Susilo Bambang Yudhoyono mengatasi parti-parti lawan menjelang pilihan raya 9 April ini, menurut laporan semalam.

Kajian pendapat yang disiarkan minggu lepas mendapati Parti Demokrat meraih sokongan 21.52 peratus responden berbanding Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) yang mendapat 15.51 peratus dan Parti Golkar, 14.27 peratus.

Parti Demokrat dijangka mengatasi PDI-P dan Golkar, kata Encik Sunny Tanuwidjaja daripada Pusat Kajian Strategi dan Antrabangsa (CSIS). -- AFP.

Pakistan tahan lagi 60 orang

ISLAMABAD: Pihak berkuasa Pakistan semalam menahan 60 lagi orang dalam operasi cuba menggagalkan rancangan pembangkang hendak berarak ke ibu kota Islamabad dan mengepung parlimen.

Duta besar Amerika, Cik Anne Patterson, telah bertemu mantan perdana menteri, Encik Nawaz Sharif, untuk cuba menghurai krisis politk sekarang, kata jurucakap Encik Sharif.

Bantahan berlaku selepas Mahkamah Agung menghalang Encik Sharif dan adiknya memegang jawatan awam. -- AP.

Panel mula kaji laporan bedah siasat Kugan

SERDANG: Jawatankuasa khas yang ditubuhkan untuk menyiasat laporan bedah siasat tahanan, mendiang A. Kugan, telah memulakan mesyuarat pertamanya semalam, kata Menteri Kesihatan Malaysia, Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata jawatankuasa itu, yang dianggotai enam penilai, akan membuat penelitian terhadap dua laporan bedah siasat yang dilakukan terhadap mendiang dan laporan jawatankuasa itu akan didedah kepada umum dalam jangka terdekat.

Menjawab dakwaan keluarga mendiang yang tidak mahu laporan bedah siasat itu disiasat, Datuk Seri Liow berkata ia perlu demi memelihara kredibiliti Kementerian Kesihatan. -- BHM.

Royalti lombong pasir dipersoal di DUN Selangor

SHAH ALAM: Seorang anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor daripada Barisan Nasional (BN), Encik Wong Koon Mun (Kuala Kubu Baru), semalam meminta penjelasan mengenai dakwaan bahawa Encik Hajiman Ibrahim, adik Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, terlibat dalam kegiatan melombong pasir oleh Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).

Encik Wong bertanya kenapa KSSB hanya membayar RM5 juta ($2.07 juta) royalti hasil jualan pasir kepada kerajaan Selangor. Walhal pada mulanya RM150 juta dipersetujui sebelum royalti itu diturunkan kepada RM50 juta. -- Bernama.

No comments:

Posting Terkini