Tetap mahu ketuai Wanita
KOTA BHARU: Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, menolak cadangan beliau dilantik sebagai penasihat pergerakan itu kerana berpendapat fungsi jawatan tersebut tidak memberi kesan kuat kepada pergerakan itu dan parti.
Sebaliknya, beliau mahu terus menerajui Wanita Umno atau tidak diberi sebarang jawatan, tegasnya.
Beliau bekata hasratnya ialah menjadikan pergerakan Wanita Umno berkesan dalam memperjuang misi dan visi pergerakan wanita seiring dengan pembangunan Malaysia. -- Bernama.
Bekas MB mahu jumpa sultan
IPOH (Perak): Bekas menteri besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, akan memohon menghadap Sultan Perak Sultan Azlan Shah bagi menyembahkan tiga usul, termasuk pembubaran Dewan yang dilulus pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) di bawah pokok di sini Selasa lalu.
Beliau semalam berkata pihaknya akan mengemukakan surat dan dokumen berkaitan hasil persidangan itu kepada Sultan Perak lusa. -- Bernama.
Tugu di 'pokok demokrasi'
IPOH: Pemimpin Pakatan Rakyat (PR) Perak semalam menanam lima anak pokok hujan-hujan dan mendirikan tugu kecil di bawah pokok tempat 'sidang tergempar' Dewan Undangan Negeri (DUN) diadakan Selasa lalu.
Lima anak pokok yang ditanam di bawah 'pokok demokrasi' itu lambang lima prinsip pemerintahan kerajaan PR sebelum ini, wibawa, keadilan, amanah, ketelusan dan kebajikan. -- BHM.
Mayat cef hanyut ditemui
LANGKAWI: Mayat seorang cef sebuah hotel terkemuka di sini, Hazli Mat Ani, 34 tahun, yang hilang dibawa arus apabila bot gentian kaca yang dinaikinya karam di sini kelmarin, ditemui semalam.
Mayat Allahyarham ditemui oleh bot peronda polis marin. -- Bernama.
Tiga korban lanun Filipina
ZAMBOANGA (Filipina): Sekumpulan lanun menyerang sebuah kapal ikan di selatan Filipina mengorbankan tiga orang anak kapalnya dan menahan dua lagi sebagai tebusan sedang mereka melarikan diri dari kapal tersebut.
Mereka menembak ke arah kapal yang tidak dikenali itu lewat Khamis lalu, kata Timbalan Gabenor, Encik Al Rasheed Sakkalahul. semalam. -- AFP.
'Jalan dekat' bawa maut
BEIJING: Seekor harimau Siberia di taman haiwan dekat Beijing menyerang dan membunuh seorang lelaki yang cuba memasuki kandang haiwan itu kerana memikirkan ia jalan dekat ke Tembok Besar China, kata seorang pegawai taman haiwan itu semalam.
Lelaki berusia 20 tahun itu, yang dikenali sebagaui 'Encik Guo', sedang berjalan kaki bersama dua lagi temannya dekat tembok itu apabila kumpulan itu memutuskan untuk melompat ke kandang itu kerana mahu menjimatkan masa. -- AP.
10 mati bila trak terperosok
BANGKOK: Polis Thai semalam berkata sebuah trak yang membawa hadirin sebuah majlis perkahwinan di barat laut Thailand terlibat dalam kemalangan jalan raya sehingga menyebabkan 10 orang mati dan 17 yang lain cedera.
Polis berkata trak itu sedang membawa 30 orang dekat Kalasin apabila ia terperosok ke dalam sebuah lubang binaan yang dikorek untuk membina jambatan. -- AP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment