KUALA LUMPUR: Keinginan memiliki tubuh langsing dan cantik menyebabkan seorang pengarah syarikat mati selepas menjalani rawatan membuang lemak di sebuah pusat kecantikan terkemuka di Ampang, petang Selasa lalu.
Mangsa, Cik Noraini Mohd Ghazali, 30 tahun, yang menjalani rawatan lebih 14 kali di pusat kecantikan itu sejak tahun lalu, meninggal dunia ketika menjalani rawatan susulan untuk menghilangkan rasa sakit pada pinggul akibat penggunaan ubat-ubatan yang belum dikenal pasti sumbernya.
Beliau meninggal dunia beberapa jam selepas menerima suntikan daripada doktor bertauliah di situ.
Cik Noraini ditemani kakak angkatnya, Cik Misha Abu Bakar, 46 tahun, ke pusat itu kira-kira 3 petang Selasa lalu bagi mendapatkan rawatan susulan itu.
Beberapa bulan lalu, beliau pernah menjalani proses pelangsingan iaitu menyedut lemak pada punggung sebelum mengadu sakit pada pinggul malam Selasa lalu dan mengajak kakak angkatnya ke pusat tersebut.
'Pada sebelah malam, Noraini ingin ke Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC). Dia beria-ia mahu ke sana, malah masih sempat singgah di kedai untuk membeli beberapa helai pakaian sebelum bergegas ke pusat itu,' katanya ketika ditemui di bilik mayat Hospital Kuala Lumpur (HKL) di sini, kelmarin.
Cik Misha berkata selepas beberapa jam menunggu, beliau tidak sedap hati dan meminta pembantu pusat kecantikan itu menghubungi doktor untuk bertanyakan keadaan adik angkatnya itu.
'Doktor itu mendakwa Noraini muntah tiga kali sebelum tertelan muntah terakhir sebaik disuntik ubat tahan sakit menyebabkan dia meninggal dunia.
'Malah, doktor itu memberitahu dia sudah cuba menyelamatkan Noraini lebih 45 minit, namun tidak berjaya sebelum meminta saya menerima kejadian itu dengan hati terbuka dan bersabar,' katanya, yang terus menghubungi suami mangsa, Encik Zaharuddin Zainuddin, 35 tahun, sebaik melihat jenazah mangsa.
Sementara itu, Encik Zaharuddin berkata sebaik dimaklumkan kejadian itu, beliau bergegas ke pusat itu tetapi tiba agak lewat kerana terperangkap dalam kesesakan jalan raya.
Menurutnya, isterinya pernah memberitahunya bahawa ada benang pernah tertinggal dalam tubuhnya selepas menjalani rawatan, dan beliau 'tidak akan teragak-agak mengambil tindakan undang-undang jika punca kematian Noraini disebabkan kecuaian doktor'.
Mangsa meninggalkan tiga anak berusia antara tiga dengan 11 tahun. -- Harian Metro.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment