Pages

Friday, March 13, 2009

PAC Perak bermesyuarat lagi 23 Mac ini

IPOH: Jawatankuasa Kira-kira Wang (PAC) Negeri Perak akan bermesyuarat pada 23 Mac ini bagi membolehkan kehadiran Penasihat Undang-Undang Negeri, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid.

Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata Ahmad Kamal telah menulis surat kepada jawatankuasa itu untuk memohon satu tarikh baru mesyuarat kerana beliau berada di Mahkamah Rayuan di Putrajaya semalam.

"Selain itu, jawatankuasa akan memanggil ketiga-tiga penasihat menteri besar iaitu Datuk Chang Ko Youn, Datuk S Veerasingam dan Datuk Najmuddin Elias Al-Hafiz serta ketua penerangan negeri Datuk Hamid Abu Bakar," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat PAC di sini hari ini.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga tidak akan memanggil semula Menteri Besar, Datuk Dr Zambry Abdul Kadir dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Dr AbdulRahman Hashim Wong pada mesyuarat akan datang kerana kedua-dua mereka telah menunjukkan ketiadaan niat untuk menghadirinya.

Katanya PAC telah memberi peluang kepada mereka untuk menjelaskan semuanya tetapi mereka gagal untuk menghadiri mesyuarat berkenaan.

Terdahulu, jawatankuasa itu telah pergi ke pejabat ketiga-tiga penasihat menteri besar dan ketua penerangan negeri untuk memastikan ia beroperasi atau tidak.

Pada 5 Mac lalu, Zambry tidak menghadiri mesyuarat PAC tetapi hanya bekas menteri besarm Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin hadir pada mesyuarat khas itu yang bertujuan untuk memberi penjelasan berhubung dakwaan penggunaan wang kerajaan sepanjang krisis kepimpinan di negeri itu. - Bernama

No comments:

Posting Terkini