KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Norza Zakaria hari ini dilucutkan hak daripada bertanding mempertahankan jawatan itu Khamis ini.
Perkara itu diputuskan Jawatankuasa Pengurusan Umno hari ini yang melarang Norza daripada bertanding, dipilih, memilih atau dilantik dalam pemilihan parti.
Norza yang juga Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan kini menghadapi dua tuduhan rasuah kerana dipercayai menyogok wang bagi memenangi jawatan pada pemilihan UMNO peringkat pusat.
Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.
Jika sabit kesalahan, Mohamad Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.
Norza mengaku tidak bersalah atas tuduhan tersebut.
NORZA KECEWA
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan berhubung pelucutan hak bertanding itu, Norza berkata, beliau berasa amat sedih dan kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan parti itu.
"Keputusan untuk tidak membenarkan saya bertanding bagi jawatan MT Umno secara peribadi adalah satu keputusan yang amat sedih dan mengecewakan.
"Bagaimanapun, sebagai ahli parti yang meletakkan Umno sebagai satu institusi bagi memperjuangkan agenda yang lebih besar, keputusan itu saya terima dengan hati terbuka," katanya.
Norza berkata, beliau menganggap keputusan itu sebagai satu cabaran untuk beliau memantapkan komitmen dalam perjuangan Umno.
"Keputusan itu tidak akan mematahkan semangat serta jati diri saya untuk terus berjuang terutamanya dalam isu-isu seperti meremajakan Umno, menghapuskan kemiskinan minda dan jiwa bagi mempertingkat daya saing Umno dan membentuk masyarakat versatil dan berdaya maju," katanya.
Katanya, usaha untuk melakukan perubahan dalam Umno adalah amat penting dan beliau menaruh sepenuh keyakinan terhadap kepimpinan Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak.
"Walau apa pun rintangannya, saya akan terus memberi khidmat terbaik dan berusaha bersama-sama kepimpinan Umno yang dipilih kelak bagi memastikan legasi kegemilangan Umno dapat diteruskan," katanya.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment