Pages

Saturday, March 21, 2009

MEMORI PALING BURUK BAGI RAKYAT IRAQ

BAGHDAD: Penduduk kaum Sunni di kejiranan Mansur, Baghdad, masih ingat apa yang berlaku enam tahun lalu ketika Amerika Syarikat melancarkan serangan yang menggulingkan Presiden Saddam Hussein.

Tetapi tanggapan mereka tidak serupa. Bagi sesetengah penduduk, ia satu kenangan pahit yang menamatkan pemerintahan kaum minoriti Sunni.

Ada yang berpendapat hidup mereka kini lebih baik. Tetapi bagi sebahagian besar rakyat Iraq, serangan itu mengubah segala-galanya.

Bagi Cik Muna Umm Maiss, 42 tahun, apa yang berlaku pada 20 Mac 2003 tidak dapat dilupakan. Hari itu, bagi beliau, paling muram.

'Ia memori paling buruk dalam hidup saya. Ketika itu saya berada di rumah bersama suami saya, seorang jurutera tentera, dan anak-anak kami. Pada hari itu, tidak ada sebarang rancangan di televisyen atau radio. Jadi, kami tahu apa yang akan berlaku,' kata beliau kepada AFP.

Buat beberapa hari seterusnya, keluarga mereka tidak keluar rumah.

'Pengeboman berterusan. Dua anak saya cedera terkena serpihan kaca. Ramai penduduk berpindah ke daerah lain.

'Lebih separuh rumah kami musnah. Tidak lama kemudian, anak perempuan saya dan suaminya berhijrah ke Malaysia. Adakah anda menjangka saya berpendapat serangan enam tahun lalu itu satu perkara yang baik?' tanya beliau.

Seperti di wilayah lain, kejiranan Mansur melalui saat-saat getir selepas Presiden Saddam disingkir. Ini termasuk pemberontakan kaum Sunni terhadap pendudukan tentera Amerika disusuli pengambilalihan kuasa oleh kaum Syiah dan serangan balas dendam yang berterusan antara pengikut Sunni dengan Syiah.

Enam tahun kemudian, ada yang berubah dan ada tidak di kejiranan Mansur.

Dari segi luaran nampak pemodenan di mana-mana. Anak-anak muda Iraq dengan telefon bimbit, poster iklan di mana-mana, tetapi mesin janakuasa masih digunakan.

Bagi Encik Khalid, seorang penjual tali leher dan pakaian dari Turkey, hidupnya kini lebih mewah.

'Sebelum 2003, kami menjual sebahagian besarnya barangan buatan tempatan dan sedikit barangan buatan Syria,' kata bapa tiga orang anak itu.

'Kini perniagaan saya lebih baik. Sebelum perang, saya pandu kereta Brazil model 1987. Kini saya memandu kereta Kia model paling baru. Saya ada rumah dan tidak ada keluarga saya yang menderita.' - AFP.

No comments:

Posting Terkini