Pages

Tuesday, March 24, 2009

Majlis Makan Malam Babitkan Peruntukan Ratusan Ribu Tarik Perhatian Selcat

Selcat yang memulakan pendengaran awam terbuka pagi tadi. Saksi yang memberi keterangan ialah Mohd Nordin. Foto AHMAD FADHLI YAHYA

SHAH ALAM - Jawatankuasa Pilihan Khas Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan (Selcat) hari ini mengadakan pendengaran awam terbuka yang pertamanya.

Selcat yang dipengerusikan Speaker Dewan Undangan Negeri (Dun), Teng Chang Khim memulakan sesi pendengaran berhubung Badan Amal dan Kebajikan Isteri-isteri Wakil Rakyat (Balkis) bermula jam 10.10 pagi tadi.

Selain Teng, lima anggota jawatankuasa itu terdiri daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bukit Antarabangsa, Mohamed Azmin Ali, Adun Taman Medan, Haniza Mohamed Talha, Adun Hulu Kelang, Shaari Sungib, Adun Permatang, Sulaiman Abdul Razak, Adun Dusun Tua, Ismail Sani dan Adun Bukit Gasing, Edward Lee.

Dalam sesi pendengaran pagi tadi, Selcat diberitahu yang sebanyak RM450,000 disumbangkan kerajaan negeri melalui pemberian terus (direct grant) kepada Balkis untuk tujuan penganjuran bersama Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat SeMalaysia 2007.

Saksi yang memberi keterangan ialah Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor, Dato’ Ramli Mahmud.

Sumbangan itu adalah bagi membiayai tiga majlis makan malam program yang turut dihoskan kerajaan negeri iaitu makan malam majlis perasmian pada 2 Ogos 2007, majlis santapan bersama DYMM Sultan Selangor pada 3 Ogos 2007 dan majlis makan malam perdana pada 4 Ogos 2007.

Makan malam pertama dan kedua berlangsung di Sunway Resort Hotel & Spa manakala yang ketiga berlangsung di Sunway Lagoon Theme Park.

Menurut Ramli, sumbangan yang diberikan kepada Balkis oleh kerajaan negeri itu bukan berbentuk geran tahunan sebaliknya diberikan secara one off iaitu sekali sahaja berdasarkan permohonan sesuatu organisasi.

Katanya, geran tahunan pula hanya diluluskan oleh kerajaan negeri kepada organisasi-organisasi yang diiktiraf dan disediakan peruntukan tahunan seperti geran kepada Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz Shah, Yayasan Seni Selangor, Maksak Selangor, Puspanita Selangor dan lain-lain.

Ketika ditanya Teng sama ada Balkis dianggap sebagai satu badan yang berkaitan dengan kerajaan negeri kerana diberikan satu geran yang cukup besar, Ramli berkata sumbangan yang diberikan kepada Balkis itu berbentuk one-off dan tidak menggunakan peruntukan beliau sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri.

“Kita mendapatkan keputusan daripada Perbendaharaan dan Pegawai Kewangan Negeri meluluskan, ini additional (peruntukan tambahan) daripada kerajaan negeri bukan peruntukan yang diberikan kepada saya untuk diagihkan kepada mana-mana badan yang saya fikirkan layak,” katanya.

Beliau berkata perkara itu telah dibincangkan dalam mesyuarat Ecxo dan kerajaan negeri bersetuju menjadi hos kepada tiga jamuan berkenaan.

“Ini perbelanjaan luar bajet, jadi kita terpaksa dapatkan peruntukan daripada Pegawai Kewangan Negeri,” katanya.

Selcat turut diberitahu menerusi saksi keempat, bekas Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Dato’ Harun Salim yang anak syarikat kerajaan negeri itu turut menyumbang sebanyak RM161,660 untuk Program Tahunan Isteri-isteri Wakil Rakyat Se-Malaysia itu.

Katanya, Worldwide Holdings Berhad juga memberi sumbangan sebanyak RM147,085 untuk menjayakan program berkenaan.

Ketika ditanya Azmin adakah beliau sedar program itu menelan belanja terlalu besar, Harun berkata beliau tidak menyedari yang kerajaan negeri juga turut menyumbang sebanyak RM450,000.

“Seperti yang saya sebutkan, apa pun keputusan (untuk meluluskan pemberian sumbangan) dibuat oleh jawatankuasa kewangan PKNS,” katanya.

Di samping itu juga, PKNS pernah menawarkan pada 2002, dua bidang tanah yang dikenali sebagai tapak institusi di Seksyen 7, Shah Alam kepada Balkis dengan harga yang telah dipersetujui iaitu sejumlah RM584,552.44.

Jumlah ini akan dibayar bagi pihak Balkis oleh kerajaan negeri Selangor namun demikian pihak PKNS belum menerima sebarang bayaran dan kerajaan negeri memutuskan untuk tidak membayar bagi pihak Balkis.

Selain isu majlis makan malam yang menelan belanja ratusan ribu ringgit, Selcat turut mempersoalkan sumbangan yang dibuat Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) dengan menaja penerbangan tujuh orang ke China yang difahamkan untuk membeli cenderahati.

Menurut Presiden KDEB, Dato’ Karim Munisar yang menjadi saksi ketiga yang dipanggil hari ini, KDEB telah membelanjakan RM17,438 untuk pembelian tiket penerbangan pada 7 Mei 2007 yang antaranya disertai ahli Balkis termasuk Yang Dipertuanya, Datin Seri Zahrah Kechik.

Turut dipersoalkan pembelian hadiah dan cenderahati bernilai RM206,574.89 yang juga dibiayai KDEB serta coklat yang bernilai RM12,850.

Timbalan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), Mohd Nordin Darhan yang dipanggil sebagai saksi kedua berkata syarikat itu hanya memberi sumbangan dua kali kepada Balkis di antara tahun 2004 hingga 2008.

Jumlah keseluruhan sumbangan berkenaan ialah sebanyak RM46,100 iaitu sumbangan untuk sewa khemah sempena majlis perasmian Kompleks Wawasan Balkis pada 15 Januari 2006 (RM43,600) dan sumbangan hamper buah-buahan pada 19 April 2006 (RM2,470).

Menurut Nordin, pemberian sumbangan hamper buah-buahan seperti yang dimohon Balkis itu antara sebahagian cara mempromosi Selangor Fruit Valley.

Sesi pendengaran awam bersambung esok. - NOOR ALLIA KASSIM

No comments:

Posting Terkini