SHAH ALAM: Kos tambang perjalanan udara bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke luar negara dari September 2001 hingga Januari tahun lepas berjumlah RM349,134 yang melibatkan 21 perjalanan.
Antara destinasi luar negara yang dikunjungi oleh beliau ialah London, Bangkok, Beijing, Los Angeles, Dubai, Osaka, Tokyo, Seoul, Taipei, Paris, Perth, Milan, Venice dan Amsterdam.
Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata statistik itu berdasarkan rekod waran perjalanan udara yang diperoleh daripada Pejabat Menteri Besar.
Bagaimanapun jelas beliau, jumlah kos seperti penginapan, makanan dan minuman serta lain-lain kos yang berkaitan masih dalam semakan Pejabat Menteri Besar, katanya menjawab soalan Mohamad Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini.
Azmin bertanyakan jumlah kos perjalanan Menteri Besar ke luar negara yang ditanggung oleh kerajaan negeri bermula dari tahun 2000 hingga sekarang dan siapakah ejen yang menguruskan hal perjalanan Menteri Besar.
Abdul Khalid berkata, ejen yang terlibat bagi menguruskan perjalanan udara Khir ialah Green Adventure Holidays Sdn Bhd manakala ejen-ejen lain yang terlibat masih dalam semakan Pejabat Menteri Besar.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment