PETALING JAYA: Orang ramai diminta berhati-hati dengan 11 jenis produk minuman, termasuk kopi Viagra buatan tempatan.
Ini kerana produk-produk itu mengandungi bahan perangsang seks campuran bahan kimia seperti tadalafil dan sildenafil yang boleh memudaratkan kesihatan, termasuk menyebabkan kematian.
Produk yang dijual dalam bentuk serbuk, uncang dan bancuhan adalah Coffee Hari2-mau Power X2, B-Fit Coffee, Spring Cafe, Ali Baba Coffee 10 in 1, Kopi Kucing Galak, Kopi Pahlawan, Kopi Tenaga Tok Lebai Plus, Mentalk Candy Ginseng & Coffee, Kopi Bagus AAA dan Evo Green Mix For Healthy & Vitality.
Ketua Penolong Pengarah Farmasi (Kuat kuasa) Kementerian Kesihatan, Encik Mazlan Ismail, berkata bahan itu adalah sebahagian daripada produk tidak berdaftar bernilai RM29 juta ($12 juta) yang dirampas di seluruh negara, tahun lalu.
'Ia mengandungi bahan kimia perangsang seks seperti sildenafil, Analog sildenafil, Aminotadafil, manakala Evo Green Mix for Healthy & Vitality mengandungi sibutramine dan analog sildenafil. Produk ini dirampas hasil intipan serta aduan orang ramai,' katanya.
Beliau diminta mengulas masalah lambakan ubat perangsang seks, termasuk yang diseludup masuk secara haram ke negara ini.
Produk seperti kopi yang mengandungi campuran sebatian sildenafil itu boleh mengundang padah selain kesan sampingan yang memudaratkan.
Malah, ia amat berbahaya kepada mereka yang menghidap darah tinggi, sakit jantung dan kandungan lemak tinggi dalam badan.
Encik Mazlan berkata pihaknya turut mengesan taktik syarikat pengeluar bahan perangsang seks ini yang menghasilkan produk dalam bentuk gula-gula.
Ini termasuk Power 1 Walnut, Mentalk Candydan Hotton Candy yang tidak berdaftar dan mengandungi Aminotadafil. -- BHM.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment