SEOUL: Korea Utara sudah membina stesen bahan api bawah tanah di tapak pelancaran peluru berpandu jarak jauhnya.
Ini sekali gus menyukarkan satelit pengintip Amerika Syarikat menjangkakan tarikh pelancarannya.
Tanpa menghiraukan amaran masyarakat antarabangsa, negara komunis itu menyatakan persediaan melancarkan satelit berjalan lancar tetapi tidak menyatakan tarikhnya.
Seoul dan Washington melihat pelancaran itu sebagai alasan menguji peluru berpandu Taepodong-2 yang pada teorinya mampu menjangkau ke Alaska.
Akhbar Dong-a Ilbo yang memetik sumber perisikan berkata, Pyongyang menyiapkan kemudahan itu di Musudan-ri antara akhir 2008 dengan awal tahun ini.
Korea Utara sebelum ini menggunakan trak dan kemudahan di permukaan yang boleh dilihat satelit pengintip.
'Jika bahan api cecair dipam ke dalam pelancar peluru berpandu di kemudahan bawah tanah, Korea Utara dapat mengelak intipan satelit Amerika. Korea Utara kini mempunyai keupayaan menjalankan aktiviti paling penting dalam persiapan melancarkan peluru berpandu di belakang tabir,' kata sumber itu.
Seorang lagi sumber risikan berkata kemudahan baru itu akan memendekkan tempoh mengepam bahan api itu kepada satu atau dua hari saja. Sebelum ini ia mengambil masa antara empat dengan lima hari.
Perkhidmatan Risikan Kebangsaan Korea Selatan enggan mengulas laporan itu.
Korea Utara telah menguji peluru berpandu Taepodong-1 pada 1998 dari tapak pelancaran di Musudan-ri dan melancarkan Taepodong-2 pada 2006 dari tapak yang sama.
Walaupun Taepodong-2 terjunam di lautan selang 40 saat dilancarkan, ia mencetuskan keprihatinan antarabangsa dan sekatan dari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Kelmarin, Korea Utara berkata pelancaran satelit oleh Iran pada 3 Februari lalu mempamerkan 'kekuasaan' negara itu dan membuktikan tiada lagi monopoli dalam projek pembangunan angkasa lepas. -- AFP.
Friday, February 27, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment