Pages

Monday, February 9, 2009

Pandangan Karpal bersifat peribadi

IPOH: Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menganggap kenyataan Pengerusi DAP, Karpal Singh terhadapnya dan beberapa pemimpin DAP adalah bersifat peribadi dan tidak akan memecahbelahkan parti gabungan PKR, DAP dan PAS.

Anggota Parlimen Permatang Pauh itu berkata kenyataan Karpal itu ekoran tindakannya tidak bersetuju dengan keputusan pemimpin DAP itu untuk menyaman Sultan Perak Sultan Azlan Shah berikutan titah baginda supaya Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin meletak jawatan sebagai Menteri Besar.

Ketua Umum Pakatan Rakyat itu juga menafikan dakwaan Karpal bahawa beliau mempelopori budaya melompat parti dalam Pakatan Rakyat.

Anwar yang ditemui pemberita selepas menghadiri program perhimpunan kembalikan kerajaan Pakatan di kediaman rasmi Menteri Besar Perak di sini malam tadi, turut berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Karpal untuk menjelaskan perkara yang dibangkitkan itu.

Anwar berkata demikian apabila diminta mengulas kenyataan Karpal hari ini dalam sidang akhbarnya di Pulau Pinang yang mendakwa Anwar tidak layak memimpin Pakatan Rakyat kerana mempromosi budaya lompat parti dan telah menyebabkan porak peranda dalam DAP.

Turut hadir pada acara malam ini ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Pengerusi DAP, Dr. Tan Seng Giaw.

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan anaknya Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak hadir pada majlis itu sungguhpun pada mulanya Kit Siang dilaporkan akan menghadirinya. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini