Pages

Sunday, February 15, 2009

Nik Aziz gesa Pengerusi SPR letak jawatan

KOTA BAHARU: Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini mempertikaikan tarikh dua pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang, Perak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau, Kedah yang didakwanya memberikan kelebihan kepada Barisan Nasional (BN) kerana diadakan selepas Perhimpunan Agung Umno penghujung bulan depan.

Nik Aziz berkata, ia seolah-olah membuktikan BN mempunyai kuasa terhadap Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi menetapkan tarikh manamana pilihan raya.

"Ini nampak macam campur aduk pihak berkuasa. Kenapa nak buat selepas Perhimpunan Agung Umno?," katanya kepada pemberita di Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, Pengkalan Chepa di sini.

Pengundian bagi kedua-dua pilihan raya kecil itu diadakan serentak pada 7 April manakala hari penamaan calon 29 Mac.

Perhimpunan Agung Umno pula diadakan lima hari bermula pada 24 Mac.

Menteri Besar Kelantan itu berpendapat jika benar keputusan SPR itu didalangi kerajaan, Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof perlu melepaskan jawatannya.

Tarikh dua pilihan raya itu kurang dipersetujui pembangkang atas alasan SPR mengambil masa yang lama untuk mengadakan pilihan raya selepas kerusi kawasan berkenaan kosong.

Pembangkang mendakwa tarikh tersebut diputuskan SPR atas desakan pimpinan BN khususnya Umno.

Bagaimanapun Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berpendapat tempoh itu memberi kelebihan kepada kerajaan dan pembangkang untuk berkempen.

Pilihan raya Parlimen Bukit Gantang diadakan setelah penyandangnya, Roslan Shaharum dari PAS meninggal dunia pada 9 Februari lalu manakala kerusi DUN Bukit Selambau kosong setelah wakilnya, V. Arumugam dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) meletakkan jawatan pada 8 Februari. BERNAMA

No comments:

Posting Terkini