Pages

Friday, February 13, 2009

Kerajaan Negeri, Masjid Seluruh Selangor Hulur Sumbangan Untuk Penduduk Gaza

SHAH ALAM, 13 Februari - Keprihatinan terhadap kesengsaraan penduduk Gaza yang diserang tentera Israel mendorong kerajaan negeri dan Masjid-masjid di seluruh Selangor untuk terus menyumbang bantuan kepada mereka.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastuktur dan Kemudahan Awam, Dato’ Dr Hasan Mohamed Ali berkata sumbangan sebanyak RM50,000 oleh kerajaan negeri dan sebanyak RM100,000 lagi daripada seluruh masjid di Selangor itu menunjukkan betapa simpati rakyat bagi meringankan beban mangsa di negara bergolak itu.

“Walaupun jumlah sumbangan ini tidak seberapa jika dibandingkan dengan kemusnahan yang mereka alami namun sekurang-kurangnya ia diharap dapat membantu penduduk Islam yang teraniaya di Palestin,” katanya.

Dr Hasan berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyerahkan cek sumbangan kerajaan negeri kepada wakil Jurucakap Rasmi Hamas, Dr Sami Abu Zuhri yang berkunjung ke negeri ini petang tadi.

Cek sumbangan daripada masjid-masjid seluruh Selangor pula disampaikan Ketua Penolong Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (Bahagian Pengurusan Masjid), Mohd Basori Omar.

Turut serta dalam kunjungan itu dua lagi wakil dari Hamas iaitu Ahmad Hussein Abu Husan dan Khalid Hassan.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan, Dr Halimah Ali.

Dalam pertemuan hampir sejam itu, Dr Sami turut menceritakan penderitaan rakyat Gaza dan keadaan sebenar yang berlaku di sana ketika ini melalui seorang penterjemah bahasa iaitu Ustaz Nazami Abdul Karim. - MURIZA ABDUL HAMID

No comments:

Posting Terkini