Obama arah 17,000 askar AS
ke Afghanistan WASHINGTON: Presiden Barack Obama mengarahkan 17,000 anggota tentera Amerika dihantar ke Afghanistan bagi membolehkan keadaan lebih stabil dan selamat. Ini keputusan ketenteraan terbesar pertamanya sejak mengambil alih Rumah Putih.
Encik Obama berkata keputusan itu dibuat susulan permintaan beberapa bulan lalu oleh Komander Amerika di Afghanistan, Jeneral David McKiernan, yang mahukan 30,000 anggota tambahan.
Rumah Putih berkata tambahan anggota tentera itu diperlukan bagi persiapan pilihan raya Afghanistan pada 20 Ogos ini bagi menguatkan 38,000 anggota sedia ada di sana. -- AFP.
Bekas pegawai bank dituduh gelapkan $3.8j
NEW YORK: Bekas Naib Presiden Morgan Stanley ditahan dan didakwa atas tuduhan menggelapkan AS$2.5 juta ($3.8 juta) daripada bank pelaburan itu.
Richard Garaventa Jr mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi Manhattan atas tuduhan tersebut.
Pendakwa raya Jeremy Glickman berkata antara 5 September dengan 24 Disember tahun lalu, Garaventa, 36 tahun, menggunakan wang itu untuk membeli kereta Mercedes dan Lexus, barang kemas, mengubah suai rumah serta membawa keluarga dan rakannya melancong. -- AP.
Menteri Besar Selangor saman Khir Toyo
SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, memfailkan dua saman terhadap bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo, di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam.
Kedua-dua saman tersebut dibuat berhubung perkataan yang didakwa memfitnah Tan Sri Abdul Khalid seperti yang disiarkan dalam laporan akhbar mengenai pembelian 46 ekor lembu korban dan 15 kereta Toyota Camry.
Dalam pernyataan tuntutan itu, plaintif tidak menyatakan berapakah jumlah pampasan yang diminta dan sebaliknya memohon mahkamah memutuskan jumlah ganti rugi pampasan, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan. -- Utusan Malaysia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment