SELANG seminggu selepas penyanyi popular Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dan suaminya, Datuk Seri Khalid Muhd. Jiwa mengadakan sidang media menafikan gosip perkahwinan mereka di ambang penceraian, sejak dua hari lalu berturut-turut mereka menerima sedikit gangguan daripada orang yang tidak dikenali sehingga terpaksa membuat laporan polis.Menurut Datuk Seri Khalid atau lebih dikenali sebagai Datuk K, lelaki itu memekik terlolong memanggil nama Siti di luar kediaman mereka yang terletak di Bukit Antarabangsa sehingga mereka tidak teragak-agak menghubungi pihak polis untuk mengawal keselamatan mereka sekeluarga.
Bukan itu sahaja, Datuk K juga berkata, ada peminat perempuan yang fanatik terhadap Siti datang ke rumah pada pukul 11 malam kelmarin untuk melihat keadaan sebenar hubungan beliau dan isterinya.
“Sekarang, saya risaukan keadaan Siti dan keluarga. Jadi, kami tidak akan teragak-agak untuk berpindah rumah jika perlu,” kata Datuk K di majlis pelancaran album Lentera Timur Siti Nurhaliza di Menara Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur, semalam.
Dalam pada itu, Siti pula berkata, kejadian tersebut merupakan antara insiden yang melibatkan keselamatan mereka sekeluarga jadi tidak mustahil jika mereka mengambil tindakan undang-undang terhadap orang yang tidak dikenali itu.
“Dalam hal ini, keselamatan itu penting. Dulu pun saya pernah diancam dengan pisau dan kini rumah saya pula yang menjadi tumpuan.
“Lagipun keadaan orang itu agak mencurigakan. Jadi, kami mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini daripada berlaku.
“Tetapi, tiadalah sampai hendak berpindah rumah,” jawap Siti yang sedikit terkejut dengan persoalan tersebut.
Siti yang menyambut Hari Jadinya ke-30 pada 11 Januari lalu turut menafikan apabila diminta memberi komen tentang perubahan dirinya yang ketara dilihat semakin terbuka bercakap tentang soal rumah tangga.
“Tiadalah. Mana ada. Ada ke? Itu hanya tentang sambutan Hari Jadi saya ke-30 baru-baru ini,” jelas Siti sambil tersenyum.
No comments:
Post a Comment