KEMBARA seni figura terkenal tanah air ini sudah melewati angka 14 tahun apabila 2009 datang menyingkap tirainya. Sepanjang tempoh itu terlalu banyak kenangan manis dan pahit dilalui penyanyi yang begitu pemurah dengan senyuman ini.
Suka dan duka silih berganti. Gosip, kontroversi, sensasi sentiasa menjadi rempah ratus dalam kehidupannya. Namun biar dilanda badai, nama Datuk Siti Nurhaliza masih tetap ampuh serta teguh berdiri menjadi sebuah monumen.
Datanglah berapa ramai penyanyi baru pun, namun sehingga kini masih belum ada satu pun yang mampu menggantikan tempatnya. Jauh sekali untuk bersaing kerana apa saja yang membabitkan Siti Nurhaliza, rezeki selalu saja berpihak padanya.
Mencungkil rahsia lebih sedekad bergelar anak seni, Siti berkata pengalaman banyak membantunya menghadapi pelbagai halangan yang merintang. Hanya pengalaman dan berbekalkan kesabaran saja membuatkan dia berjaya merentasi kesukaran itu.
Masih terbayang bagaimana Siti terpaksa berdepan dengan ujian hebat, sejak melangkahkan kakinya ke bidang seni hinggalah berdiri kukuh di tempatnya sekarang. Dari kisah enggan bergambar dengan artis lelaki hinggalah kontroversi rumah tangganya yang dikatakan berantakan, semua itu ditangani Siti dengan penuh ketenangan.
“Siti akui bukan mudah untuk sampai ke peringkat seperti ini. Laluan Siti penuh dengan ranjau dan duri. Pelbagai cabaran terbentang di depan mata. Namun apabila Siti mengambil keputusan untuk mencari rezeki dalam bidang ini, Siti harus bersedia menempuh pelbagai halangan termasuk dilanda pelbagai gosip panas.
“Namun senjata Siti adalah kesabaran. Malah itulah yang Siti praktikkan dari mula-mula menceburkan diri dalam bidang ini sehinggalah sekarang. Kalau bukan kerana sabar sudah lama Siti berundur dalam bidang ini,” ujar Siti mengimbas memori lalu.
Mungkin apa yang dilakukan Siti ini boleh menjadi contoh kepada penyanyi generasi baru supaya mereka tidak lekas melenting apabila ditegur media. Seelok-eloknya pesan Siti, ikutlah resmi padi, makin tunduk makin berisi, bukan resmi lalang, tegak berdiri bukan saja tiada isi tetapi juga tiada pendirian.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment