PULAU PINANG, 15 Jan-- Kerajaan Pulau Pinang hari ini memfailkan notis pembelaan di Mahkamah Tinggi di sini berhubung saman yang dikemukakan anggota exco Gabungan Graduan Melayu Muda (GGMM) Nik Rizman Sapian pada 4 Nov lepas berkenaan pemasangan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di tapak warisan Georgetown.
"Sekarang ini pihak defendan hanya menunggu tindakan dari pihak plaintif dalam tempoh 14 hari," kata peguam Jagdeep Singh Deo kepada pemberita selepas memfailkan penyataan pembelaan di Pejabat Pendaftar di sini hari ini.
GGMM menuntut deklarasi mahkamah bahawa tindakan kerajaan negeri, selaku defendan kedua, meluluskan permohonan defendan pertama iaitu Majlis Perbandaran Pulau Pinang, untuk memasang tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa di tapak warisan Georgetown adalah bertentangan dengan Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
Notis pembelaan yang dikemukakan oleh kerajaan negeri menyebut bahawa Nik Rizman tidak mempunyai locus standi atau kepentingan untuk mengambil tindakan terhadapnya kerana dia berasal dari Pahang dan tidak menetap di Pulau Pinang.
Selain itu, kerajaan Pulau PInang juga menyatakan bahawa semua laporan akhbar yang dibaca oleh plaintif sekadar sebut dengar sahaja.
Kerajaan negeri menyatakan bahawa penggunaan papan tanda nama jalan dalam pelbagai bahasa adalah menurut peruntukan undang-undang sedia ada selaras dengan peruntukan Artikel 152 Perlembagaan Persekutuan dan Akta Bahasa Kebangsaan 1963/67.
Dalam notis pembelaan yang difailkan pada 9 Jan lepas, MPPP telah menafikan membuat permohonan kepada kerajaan negeri untuk memasang papan tanda nama jalan pelbagai bahasa di kawasan tapak warisan Georgetown.
Menurutnya Jawatankuasa Penamaan Jalan dan Tempat telah meluluskan penggunaan papan tanda nama jalan dwibahasa di Georgetown pada 9 Nov 2006 dan pelaksanaannya dikuatkuasakan pada Februari 2007 menurut Seksyen 29 Akta Jalan, Parit dan Bangunan (AJPB) 1976.
-- BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
2 comments:
Papan tanda dalam pelbagai bahasa jelas bersentimen perkauman dan bersifat ketinggalan dalam memahami bahasa negara secara terhormat.
Perancis juga terdiri pelbagai bangsa rakyatnya tetapi cukup mengerti akan penghormatan terhadap bahasa kebangsaan negaranya. Alasan demi pelancongan juga jelas dangkal, kerana Perancis juga tidak berbuat sedemikian.
Bahasa kebangsaan diwujudkan bukan sekadar main-main tetapi untuk kesejahteraan negara dan maruah bangsa negaranya. Ini yang tidak difahami secara tuntas oleh kerajaan Pulau Pinang.
Patutkah orang Cina di negara China dikatakan perkauman kerana menegakkan budaya Cina di negaranya. Dan patutkah Melayu di negara ini dikatakan perkauman kerana pertahan dan mendaulatkan budaya Melayunya di negara sendiri. Jadi, siapa perkauman sebenarnya, hinggakan bahasa asing nak disaingkan dengan bahasa negara, bahasa Melayu.
Post a Comment