Pages

Thursday, January 15, 2009

Belum Ada Petunjuk Jelas Di Kuala Terengganu

KUALA TERENGGANU, 14 Jan-- Selepas seminggu berkempen dan menjelang pengundian Sabtu ini, petugas parti-parti yang bertanding mendapati belum ada petunjuk jelas mengenai siapa yang akan menang dalam pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Kuala Terengganu.

Ini kerana mereka berdepan dengan pengundi yang "agak tidak menentu dan enggan bercerita sangat" mengenai siapa antara Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh dari Barisan Nasional, Mohd Abdul Wahid Endut daripada PAS dan Azharuddin Mamat, calon Bebas, yang menjadi pilihan mereka.

"Kebanyakan pengundi sekadar berjabat tangan, senyum dan berdiam apabila kita cuba menilai kecenderungan mereka," kata seorang pekerja parti.

Penganalisis politik juga masih kebingungan tetapi yang pasti ialah BN dan PAS sudah bersedia mengharungi persaingan yang sengit.

Yang peliknya, walaupun dalam keadaan demikian, pilihan raya kecil ini dianggap sepi dan aman.

Penduduk tempatan menjalani kehidupan harian seperti biasa manakala peniaga-peniaga gembira dengan kehadiran ribuan pengunjung luar.

Bagi 300 petugas media yang membuat liputan pilihan raya kecil ini, kempen yang suram sejak hari penamaan calon 6 Jan lepas itu, bermakna mereka ketandusan berita panas manakala 6,000 anggota polis pula mungkin merasa lega.

Kecuali perang poster di bandar ini, ketiadaan isu besar adalah satu daripada sebab kenapa pilihan raya kecil ini dianggap sebagai tenang.

Kempen BN, yang diterajui Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, lebih tertumpu kepada pendekatan bersemuka dengan rakyat.

"Tak perlu adakan terlalu banyak ceramah besar kerana penduduk di sini sudah tidak lagi berminat," kata seorang petugas BN kepada Bernama.

Ceramah pertama pembangkang diadakan pada hari penamaan calon dengan memaparkan ketua umum Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Mursyidul Am PAS Datuk Nik abdul Aziz Nik Mat.

Suruhanjaya Pilihan Raya berkata setakat ini tidak ada sebarang laporan dibuat, yang menunjukkan bahawa pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

Timbalan Pengerusi SPR Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata bahawa sejak pilihan raya umum ke-12 pada 8 Mac tahun lepas, SPR telah mengambil beberapa tindakan untuk meningkatkan ketelusan.

Antara langkah yang diambil ialah membenarkan ejen calon untuk duduk bersama ketua tempat undi pos bagi memantau proses berkenaan.

Kuala Terengganu mempunyai 80,229 pengundi.

Sebelum ini, kerusi itu disandang oleh Datuk Razali Ismail dari BN. Beliau meninggal dunia ketika bermain badminton pada 28 Nov tahun lepas.

-- BERNAMA

No comments:

Posting Terkini