PETALING JAYA: Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim berkata beliau tidak akan menyertai parti politik lain pada masa terdekat.
Bagaimanapun tegasnya, beliau tidak terperanjat dengan tindakan yang diambil, tetapi mempertikaikan cara keputusan diambil tanpa beri peluang untuk memberikan penjelasan.
“Saya tidak diberi peluang untuk didengar malah saya juga tidak tahu mengenai sebarang kesalahan yang telah saya lakukan.
"Saya tidak menghadiri majlis makan malam DAP ataupun kongres PKR (Parti Keadilan Rakyat) untuk memprovokasi sesiapa," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Tambahnya lagi beliau kecewa dengan Umno kerana sentiasa melihat tindakannya itu sebagai langkah provokasi terutamanya apabila bercakap mengenai isu Melayu.
"Saya sekadar hendak mendengar atas jemputan rakan-rakan...tetapi itulah sikap Umno, ia melihat provokasi dan musuh dimana-mana tanpa pedulikan mengenai keadilan asasi.” katanya.
Zaid berkata beliau akan terus menyumbangkan khidmat kepada masyarakat dengan komited untuk menguruskan .myFuture Foundation dengan membantu generasi muda memahami kepentingan demokrasi, kedaulatan undang-undang, keburukan amalan rasuah dan pentingnya keharmonian kaum.
"Saya fikir ada cara lain yang boleh saya sumbangkan untuk membentuk kefahaman yang baik, pentingnya demokrasi serta pentinya untuk tidak wujud sebarang prejudis antara kaum.
"Ini adalah perkara yang boleh saya lakukan dengan generasi muda untuk terus bercakap mengenai isu-isu penting negara," katanya.
Katanya lagi beliau bersetuju dengan dakwaan para pemimpin UMNO bahawa beliau adalah `orang kerdil’ dalam Umno yang tidak mempunyai pengaruh.
Atas dasar itu beliau dijadikan mangsa dan dihukum kerana tindakan-tindakannya, sedangkan ramai lagi tokoh-tokoh lain yang lebih berkuasa yang mencemuh kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi serta mempersendakan parti.
"Bukan itu sahaja, malah mereka mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghasut atau perkauman, tetapi tiada tindakan yang diambil terhadap kelompok ini.
"Mungkin juga Umno mengamalkan sikap pilih kasih," katanya dengan kecewa.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment