Pages

Monday, December 1, 2008

Tawaran PKR ditimbang, Arif putus waktu terdekat

PETALING JAYA: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Datuk Arif Shah Omar Shah masih mempertimbangkan tawaran untuk menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Ketika dihubungi mStar Online sebentar tadi, Arif Shah berkata, beliau memerlukan masa untuk meneliti tawaran tersebut dari pelbagai sudut.

Antara lain, kata Arif Shah, beliau ingin melihat sama ada Umno masih memerlukan khidmatnya.

"Jika betul, mereka perlu bekerja secara sama... jangan menindakkan usaha ikhlas saya untuk memberi khidmat kepada masyarakat," kata beliau menjelaskan soalan mengapa tidak menolak tawaran tersebut.

Awalnya beliau memberitahu masih meneliti perkara tersebut.

"(Tawaran) tak tolak (terus)," katanya.

Kata Arif Shah, tawaran itu diterima menerusi seorang individu yang dekat dengan PKR baru-baru ini.

Sambil menegaskan status quo masih kekal, Arif Shah berkata, keadaan belum mendesakknya untuk mengambil keputusan segera untuk keluar Barisan Nasional (BN) dan menyertai PKR.

Ketika ditanya sama ada akan membuat keputusan dalam waktu terdekat: "Ya, mungkin."

Arif Shah pernah bertanding dalam pilihan raya kerusi Parlimen Permatang Pauh menentang Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ogos lalu.

Kerusi itu dimenangi Anwar.

Semalam, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng tidak menafikan khabar angin yang mengatakan Arif Shah akan menyertai PKR.

Bagaimanapun beliau tidak mengesahkan sejauh mana kebenaran khabar angin yang mula tersebar itu yang kononnya penyertaan Arif Shah ke PKR kerana kecewa dengan penyokong BN di Pulau Pinang.

Arif Shah, satu-satunya ADUN yang berjaya mengekalkan kerusi negeri untuk penggal kedua di bahagian Permatang Pauh berkata, beliau sedang serius mempertimbangkan kedudukan politikynya itu berikutan apa yang disifatkannya sebagai penyalahgunaan kuasa yang teruk dalam kepimpinan Umno bahagian itu yang diketuai Datuk Abdul Jalil Abdul Majid.


No comments:

Posting Terkini