KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan memberi amaran kepada pihak yang terbabit dalam kempen pilihanraya kecil Parlimen Kuala Terengganu agar tidak melanggar peraturan sehingga boleh mencetuskan insiden yang tidak diingini.
Katanya pada masa yang sama, para penyokong parti-parti politik yang terlibat dalam pilihanraya kecil itu, perlu bersikap matang dan tidak menimbulkan sebarang kekecohan.
Beliau berkata polis, yang telah bersiap sedia untuk berkhidmat sepanjang pilihan raya itu, tidak akan teragak-agak untuk bertindak terhadap pihak yang melanggar peraturan.
"Perlu patuhi undang-undang dan prosedur yang ditetapkan. Jika patuhi undang-undang, tidak akan timbul sebarang masalah.
"Bila ghairah hendak menang, akan ada pihak yang berbuat macam-macam tindakan justeru kita akan pastikan kesemuanya berjalan lancar tanpa sebarang masalah," katanya selepas merasmikan Program Merakyatkan Seni Budaya di Komuniti Beruniform di Pulapol di sini hari ini.
Pilihanraya kecil kerusi Parlimen Kuala Terengganu diadakan berikutan kematian penyandangnya yang juga Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Razali Ismail pada 28 November lalu.
Mengenai perkembangan kes Nurin Jazlin Jazimin, Musa berkata, baru-baru ini ada pihak yang mendakwa bahawa mereka mempunyai sistem yang boleh memberikan gambaran yang lebih terang melalui rakaman kamera litar tertutup yang kurang jelas.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lebih lanjut dan berkata langkah dan perbincangan lanjut sedang dijalankan.
Sebelum ini, polis telah mendapatkan bantuan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) Amerika Syarikat untuk meningkatkan kualiti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) tetapi pakar dan teknologi FBI sendiri gagal mendapatkan nombor plat motosikal di dalam rakaman itu, katanya.
Kanak-kanak yang kini berusia 9 tahun itu dilaporkan hilang pada 20 Ogos tahun lalu dan kemudian dijumpai mati pada 17 September tahun lepas.
Antara segmen rakaman CCTV itu menunjukkan imej seorang lelaki menaiki motosikal jenis Modenas Kriss dengan membawa sebuah beg sukan berlegar-legar di luar bangunan kedai tiga tingkat di Petaling Jaya pada 16 September tahun lepas.
Lelaki itu kemudian mengangkat beg itu dari motosikalnya dan meninggalkannya di tepi tangga tingkat bawah premis itu sebelum beredar dari situ. BERNAMA
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment