Arroyo lawat lokasi letupan
ILIGAN (Filipina): Presiden Filipina, Cik Gloria Arroyo, membuat lawatan kilat ke bandar Iligan, selatan Filipina, sehari selepas dua serangan bom menyebabkan dua terkorban dan 53 cedera.
Beliau melawat rumah mayat untuk mengucap takziah selain memberi cek bernilai 50,000 peso ($1,550) kepada keluarga mangsa.
Beberapa jam selepas itu, sebutir bom dijumpai disorok dalam buah betik di tapak letupan sebelumnya, kata jurucakap tentera Leftenan Steffani Cacho. -- AFP.
Batal lawatan ke Afghanistan
KABUL: Presiden Pakistan, Encik Asif Ali Zardari, semalam terpaksa membatalkan lawatan ke Afghanistan untuk berunding dengan Presiden Hamid Karzai ekoran cuaca buruk, kata para pegawai.
Kedua-dua pemimpin dijadual membincangkan strategi memerangi gerila Taleban yang serangan mereka semakin meningkat tahun ini. -- AFP.
Askar Jerman perangi lanun
BERLIN: Parlimen Jerman semalam bersetuju menghantar sehingga 1,400 askar ke Teluk Aden untuk menyertai pasukan Kesatuan Eropah (EU) bagi menumpas serangan lanun di perairan Somalia.
Misi tersebut bertujuan melindungi kapal dagang dan membantu kapal yang diserang, dan bukan untuk mengejar lanun, kata Kementerian Pertahanan Jerman. -- Reuters.
Pegawai Aust ketuai siasatan
SYDNEY: Seorang pegawai polis Australia kelahiran Mesir akan mengepalai siasatan bagi tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang mendakwa suspek yang disyaki membunuh mantan perdana menteri Lebanon, Encik Rafiq Hariri.
Encik Nick Kaldas, timbalan ketua polis New South Wales (NSW), akan menjadi ketua siasatan Tribunal Khas PBB bagi Lebanon (UNSTAL), kata ketua polis NSW, Encik Andrew Scipione, semalam. -- AFP.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment