Pages

Wednesday, November 19, 2008

Syed Hamid: Tindakan akan diambil, jika teguran terhadap pasukan keselamatan berasas

PUTRAJAYA: Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata parti pembangkang boleh memberi teguran jika ada kekurangan pada pasukan keselamatan dan tindakan akan diambil jika teguran itu berasas.

Tetapi jangan pula politikkan teguran atau memperlekeh pasukan keselamatan kerana ia merupakan agensi penguatkuasa yang bertanggungjawab menjaga keamanan dan keselamatan negara, kata beliau.

"Saya berharap parti pembangkang jangan mudah perlekehkah semua. Saya tengok macam-macam orang perlekehkah kita.

"Pada saya yang baik kata baik, yang tak baik tegur, memang kita akan betulkan, memang kita akui bukan semuanya sempurna, saya terima itu. Kita ada masalah dan kita berhasrat menyelesaikannya.

"Tetapi apa juga kebaikan kita buat, tolong pujilah sikit, anggota polis yang meninggal ke, cedera ke, mereka pun ada anak-anak, keluarga. Ini kutuk sepanjang masa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri perhimpunan bulanan kementeriannya di sini hari ini.

Menteri itu diminta mengulas mengenai pemimpin DAP Lim Kit Siang yang dilaporkan sering mempertikaikan kredibiliti pasukan keselamatan.

Syed Hamid berkata beliau patut matang dalam mengambil sebarang tindakan dan jangan mengutuk pasukan keselamatan kerana hendak menjadi popular.

"Siapa kata dia tak melakukan tugasnya sebagai wakil rakyat tetapi takkan mahu jadi popular dengan mengutuk polis.

"Nak jadi popular kutuk kerja orang yang menjaga keamaan dan keselamatan, itu saya fikir ia bukan pendekatan yang munasabah dan rasional," katanya.

Beliau berkata tidak dinafikan terdapat kes yang sukar untuk diselesaikan tetapi jika ia dijadikan keutamaan untuk memburukkan keupayaan pasukan keselamatan ia tidak membantu untuk membina keyakinan.

"Jika ada kes tak selesai, tak ada pasukan polis akan rasa selesa dan senang lebih-lebih lagi kes yang melibatkan penculikan anak-anak kecil, dan ia adalah perkara yang kita mahu ia dapat diselesaikan.

"Tetapi kadang-kadang ia tidak boleh diselesaikan oleh kerana perkara-perkara yang tidak membolehkan ia diselesaikan," katanya. BERNAMA


No comments:

Posting Terkini