Pages

Wednesday, November 19, 2008

Shahrizat mampu tumpaskan Rafidah.

Makluman balas dari akar umbi menunjukkan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil mampu menumpaskan Tan Sri Rafidah Aziz sekiranya berlaku pertandingan bagi jawatan ketua Wanita Umno, kata bekas exco pergerakan itu, Datuk Maznah Hamid.

"Kalau nak bertanding, kami dapat maklum balas dan kajian, kami pasti kemenangan berpihak kepada gandingan Shahrizat dan Datuk Kamilia Ibrahim.

"Semua mata tertumpu kepada Rafidah dan menilai keikhlasan daripadanya," kata Maznah ketika dihubungi hari ini

Malaysiakini difahamkan Maznah yang juga ketua Wanita Umno Jerlun, turut terlibat dalam perbincangan untuk menyelesaikan isu peralihan kuasa dalam sayap Umno itu.

Beliau juga mencadangkan diwujudkan situasi menang-menang bagi menyelesaikan masalah peralihan kuasa dalam pergerakan itu, di samping mengelakan perpecahan dalam Wanita Umno.

"Datuk Shahrizat dan Datuk Kamilia memimpin Wanita dan pengerusi (Wanita negeri) kita berpakat, kita berjumpa dengan pucuk pimpinan, bagi jawatan yang sesuai (kepada Rafidah) berasaskan apa jua pengalaman dan pengetahuannya dalam bidang (hal ehwal) antarabangsa, ekonomi, perdagangan dan industri. Tak pening kepala ," tambah Maznah.

Mesyuarat exco Wanita Umno pada 10 November lalu, memutuskan untuk mengekalkan peralihan kuasa pada Jun 2009 dan menetapkan jawatan ketua dan naib ketua tidak dipertandingkan Mac depan.

Sehari selepas itu, Kamilia yang juga exco pergerakan itu, mengumumkan tetap dengan pendirian untuk bertanding jawatan naib katua Wanita.

Minta PM, Najib bantu

Ekoran itu, isu peralihan kuasa dan pendirian Kamilia mendapat reaksi yang berbeza daripada pengerusi Wanita negeri-negeri.

Ada negeri yang menyokong peralihan kuasa dipercepatkan dan ada negeri mahu ia dikekalkan pada Jun 2009 dan tidak mempertandingkan bagi jawatan ketua dan naib.

Sehubungan itu, Maznah berkata, punca kekusutan yang berlaku dalam pergerakan itu tersebut adalah pelan yang dipersetujui oleh Rafidah dan Shahrizat di peringkat awal sebelum mesyuarat bahagian bermula.

Selepas mesyuarat bahagian selesai 116 bahagian mencalonkan semula Rafidah untuk mempertahankan jawatannya manakala 73 bahagian lagi mencalonkan Shahrizat untuk jawatan tersebut.

Shahrizat yang layak bertanding jawatan ketua, turut dicalonkan oleh 116 bahagian untuk mempertahankan jawatan naib ketua yang disandangnya sekarang.

Manakala Kamilia pula memperolehi 55 pencalonan dan layak bertanding jawatan naib ketua.

Maznah berharap agar presiden Umno, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan timbalannya, Datuk Seri Najib Tun Razak campurtangan untuk menyelesaikan masalah tersebut.

"Penyelesaian juga berada pada kedua-dua pemimpin - Tan Sri Rafidah dan Datuk Shahrizat - bukan terletak kepada orang lain," kata Maznah lagi. --MalaysiaKini

No comments:

Posting Terkini