Pages

Thursday, November 20, 2008

Saya tidak dibayar gaji untuk jadi pengampu!

Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin bercakap tentang jawatan yang akan dilepaskannya beberapa hari lagi, cadangan beliau tentang mesyuarat Majlis Fatwa Kebangsaan yang beliau anggap wajar disiarkan pada orang ramai, keberkesanan peranan JAKIM dan Mufti-mufti dari negeri lain dan membetulkan pendapat songsang yang mengaitkan beliau sebagai penyokong Umno dan penentang pembangkang.

"Saya bukan pengampu dan saya tidak dibayar gaji untuk mengampu dan ini tidak seharusnya terjadi," komen Dr Asri bila ditanya kenapa beliau lantang mengkritik pihak pemerintah mahupun pembangkang.

Kesemua pandangan beliau, bersifat neutral dan tidak memihak pada mana-mana parti politik walaupun ramai yang tersalah anggap.

Setiapkali beliau berhujah dan melontarkan pandangan, banyak maksud yang tersirat didalam bahasanya yang sarat dengan seribu makna dan sindiran. Mungkin juga ditujukan kepada mereka-mereka yang tidak senang dengan kehadirannya sebagai mufti paling muda di Malaysia.

Selama dua tahun memegang jawatan mufti, secara tidak sedar, Dr Asri mempunyai pengaruh yang kuat dalam mencorak pemikiran masyarakat Melayu dan pengamatan beliau tentang senario politik semasa.

Bertepatan dengan tajuk buku beliau yang baru sahaja diterbitkan bertajuk, "Mengemudi bahtera perubahan minda" (hasil himpunan koleksi artikel yang tersiar dalam kolum Pena Mufti) oleh Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, Dr Asri tidak pernah jemu menegur dan mengajar umat Islam termasuk ahli-ahli politik agar mengatasi kelemahan cara fikir, meninggalkan kejumudan, keterbabasan sikap dan mentaliti serta penyelewengan dalam pelbagai aspek kehidupan.

Kelangsungan dan kelantangan beliau melontarkan idea dan pandangan bernas serta buah fikirannya yang tajam dan kritikal berdasarkan fakta dan ilmiah menjadikan pandangan Dr Asri tidak begitu disenangi oleh kebanyakkan tokoh agama dan Mufti-mufti dari negeri lain.

Sehinggakan ketidaksenangan ini mengundang satu sekatan ke peringkat tidak membenarkan Dr Asri memberi ceramah di beberapa negeri.

Tapi Dr Asri tidak mudah goyah dengan sikap dan persepsi kelompok sebegini, meskipun tokoh agama yang lebih berusia darinya.

Beliau juga tidak kisah digelar 'Mufti kontroversi' kerana di situlah kehebatan dan keistimewaannya yang sering dianggap sebagai 'pakar rujuk' oleh pengamal media, setiapkali ada isu-isu yang berkaitan agama dan hukum hakam.

Selama hampir satu jam temubual mStar Online di Taman Sri Ukay baru-baru ini, tokoh agama ini melontarkan pandangannya yang berani tanpa sempadan untuk kesekian kalinya.

Dalam lenggok bahasa yang sinis dan tegas disulam dengan jenaka yang pedas, Dr Asri masih tidak hilang bisanya meskipun tidak akan bergelar Mufti lagi.

Selami pemikiran tokoh agama, pensyarah, pemikir, penulis, kolumnis, penyair dan juga strategis ini dalam satu temubual ekslusif:

BOLEH KOMEN TENTANG KONTRAK MUFTI PERLIS YANG TERNYATA TIDAK MEMUASKAN HATI DR? DR TETAP DENGAN PENDIRIAN UNTUK BERHENTI MESKIPUN DIPUJUK. ADAKAH KERANA DR MERAJUK, BOSAN ATAU KERANA PRINSIP

Kontrak saya sepatutnya habis June 2009. Perancangan ke UK memang ada sejak awal, dua tahun lepas suda ada perancangan tapi dilewatkan berdasarkan kontrak.

Saya melihat keperluan untuk memegang jawatan itu dalam keadaan yang bermaruah. Saya tidak meminta sedekah untuk jawatan itu atau merayu untuk jawatan itu. Saya dahulunya dijemput untuk jawatan itu. Saya tidak mahu untuk kedua kalinya saya terpaksa mempertahankan jawatan saya. Saya rasa tidak perlu. Kalau itu berlaku, maka akan hilang kebebasan bersuara, sikap yang tidak berpihak dan itu tidak bermakna lagi saya memegang jawatan mufti.

ADAKAH DR PUAS HATI DENGAN TEMPOH DUA TAHUN SEBAGAI MUFTI PERLIS

Dari segi gerak kerja yang saya buat, saya boleh bersyukur. Dan memang kita patut bersyukur senantiasa. Sekurang-kurangnya tempoh itu berjaya. Berjaya buka minda banyak pihak. Kerja itu akan diteruskan tidak semestinya atas dasar platform Mufti Perlis.

ADAKAH AGENDA PERUBAHAN MINDA ITU MENCAPAI MATLAMAT? ATAU BELUM SELESAI

Perubahan minda itu telah berlaku. Alhamdulillah, pada peringkat awalnya, pada mulanya orang menjangka ianya satu kemustahilan. Dalam masa dua tahun, ianya berlaku dan diperkatakan di mana-mana. Ramai yang melihat agama dalam dimensi yang lebih luas.

Pihak konservatif terpaksa menyesuaikan diri pada arus persoalan. Saya pergi ke mana-manapun, saya berjumpa orang di kampung-kampung, di mana-mana negeri yang takada kaitan pun, berjumpa, salam dan menyatakan sokongan. Mereka rasa sangat gembira.

Dari sudut itu saya berjaya mencapai matlamatnya. Tapi untuk memastikan kelangsungan yang menyeluruh dan bukan sebagai slogan. Itu semua perlukan kerja yang lebih daripada seorang Mufti.

No comments:

Posting Terkini